GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Laluan Simpang Pulai - Gopeng di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup secara berperingkat bermula Isnin ini (22 Januari) hingga 7 Februari depan.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini, berkata pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan itu dinasihatkan merancang perjalanan susulan penutupan lorong secara berperingkat di antara kilometer (KM) 291.4 hingga KM296.4 (arah Selatan).

Katanya, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan dilaksanakan di lokasi terbabit secara berperingkat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh berkenaan.

"PLUS mengutamakan keselamatan dan keselesaan pengguna di lebuh raya dan secara berterusan melakukan pelbagai usaha dan inisiatif untuk meningkatkan kedua-dua aspek berkenaan.

"Sepanjang tempoh itu, penggunaan bagi setiap lorong secara berkala akan diaktifkan sebaik sahaja kerja-kerja turapan jalan tersebut selesai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

"Mereka juga dinasihatkan mematuhi semua papan tanda trafik dan arahan dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

"Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 4:41 PM