HOSPITAL Tawau. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Tawau. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyiasat dakwaan berlaku kecuaian dalam proses rawatan seorang ibu baru bersalin secara pembedahan di Hospital Tawau, yang tular baru-baru ini.

Pesakit terbabit dikatakan mengalami kesakitan selepas beberapa hari keluar wad hingga terpaksa dibedah semula sebelum dikesan mengalami jangkitan kuman.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap aduan terbabit dan akan menjalankan siasatan dengan terperinci serta telus.

"Susulan itu, pihak pengadu dihubungi dan diberikan maklum balas awal berkenaan perkara yang dibangkitkan. Satu pasukan penyiasat juga ditubuhkan bagi menyiasat dan meneliti isu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Maklum balas itu berkaitan satu hantaran di akaun Facebook yang dipercayai milik kepada suami seorang pesakit ibu mengandung yang mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, akhir tahun lalu.

Dr Asits berkata, semakan rekod perubatan pesakit di Hospital Tawau, mendapati pesakit yang berumur 34 tahun dengan usia kandungan kembar 31 minggu itu hadir ke pusat kemasukan pesakit, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tawau pada 7 malam, 31 Disember lalu, selepas mengalami tanda-tanda bersalin.

Katanya, setelah pemeriksaan oleh petugas kesihatan, pesakit disarankan untuk menjalani pembedahan kecemasan Caeserian Section memandangkan kandungannya yang pramatang dan risiko uri berkedudukan rendah.

"Pembedahan yang dijalankan ke atas pesakit berjaya dan beliau bersama kedua-dua bayi kembar dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut. Pesakit discaj dari Wad Materniti pada hari ketiga selepas pembedahan iaitu pada 2 Januari lalu dalam keadaan stabil.

"Bagaimanapun, pesakit hadir semula ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau pada 6 Januari setelah mengalami demam selama dua hari dan sakit di bahagian abdomen.

"Setelah dilihat dan dirawat oleh pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi bersama pakar bedah, pesakit dinasihat menjalani pembedahan Exploratory Relaparotomy bagi menyiasat dan mencari punca sakit sebelum pesakit dan suami bersetuju untuk pembedahan itu," katanya.

Hasil pembedahan itu, beliau berkata pasukan pakar mendapati terdapat komplikasi jangkitan kuman di bahagian rahim yang menyebabkan jahitan bedah terbuka dan mengakibatkan jangkitan kuman pada rongga abdomen pesakit.

"Pembaikan dan penjahitan semula bedahan rahim berjaya dilaksanakan oleh pasukan pakar berkenaan. Terkini, pesakit berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan dan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 8:12 AM