KEADAAN dalam bilik pembedahan menggunakan sistem robotik.
KEADAAN dalam bilik pembedahan menggunakan sistem robotik.
DR Jason memberi penerangan berkaitan prosedur robotik kepada pakar bedah yang hadir.
DR Jason memberi penerangan berkaitan prosedur robotik kepada pakar bedah yang hadir.
SISTEM robotik dalam pembedahan ginekologi lebih cekap.
SISTEM robotik dalam pembedahan ginekologi lebih cekap.
KAWALAN EndoWrist lebih tepat.
KAWALAN EndoWrist lebih tepat.
ROBOT da Vinci memudahkan pembedahan.
ROBOT da Vinci memudahkan pembedahan.
DR Jason (dua dari kiri) bersama Dr Khoo (kiri), Dr Wong (tiga dari kanan), Dr Chong (dua dari kanan) dan Dr Tan (kanan).
DR Jason (dua dari kiri) bersama Dr Khoo (kiri), Dr Wong (tiga dari kanan), Dr Chong (dua dari kanan) dan Dr Tan (kanan).
Yusliza Yakimir Abd Talib


Pembedahan konvensional sering dikaitkan dengan risiko tinggi selain luka pembedahan besar yang menyebabkan masa pemulihan lebih lama hingga menimbulkan kesan trauma ke atas pesakit.

Bagaimanapun, seiring kepesatan teknologi perubatan, stigma masyarakat terhadap pembedahan kian berubah selepas penggunaan teknologi pembedahan robotik mengambil alih kaedah konvensional dalam kebanyakan pembedahan.

Teknologi ini memiliki kelebihan berbanding pembedahan konvensional menggunakan tangan manusia yang selama ini jangkauan tangan pakar bedah agak terbatas manakala sudut peralatan pembedahan biasanya hanya dua dimensi.

Akibatnya, pembedahan menjadi kurang optimum sehingga menyebabkan risiko pendarahan lebih tinggi.

Pembedahan robotik biasanya meminimumkan kehilangan darah, mengurangkan masa pemulihan pasca pembedahan dan ia membolehkan ketepatan dalam melaksanakan prosedur, sekali gus menyelamatkan tisu sihat daripada kerosakan.

Penyembuhan yang lebih cepat dan tahap kesakitan yang lebih rendah pula dapat menjadikan tempoh tinggal di hospital lebih singkat berbanding pembedahan konvensional.

Pusat Perubatan Sunway (SMC) baru-baru ini mengadakan bengkel mengenai ginekologi robotik menggunakan sistem pembedahan da Vinci. Tiga pembedahan robotik dilakukan untuk menunjukkan kemudahan penggunaan dan keberkesanan kaedah ini kepada sekumpulan doktor bedah tempatan.

Bengkel yang diketuai oleh Pakar Onkologi Ginekologi Pusat Wanita di Australia Barat, Dr Jason Jit-Sun Tan memberi pendedahan kepada doktor bedah terbabit mengenai manfaat pembedahan robotik, terutama berkaitan wanita.

Diperkenalkan tahun lalu di SMC, sistem da Vinci memungkinkan doktor bedah melakukan pembedahan yang lebih rumit dan kompleks mulai dari pembedahan jantung hingga urologi.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi SMC Dr Chong Chin Kooi berkata, penggunaan robot da Vinci dalam pembedahan ginekologi hari ini berkembang pesat, terutama di luar negara, pentingnya doktor bedah di negara dilatih.

“Kemahiran dalam pembedahan laparoskopi boleh menjadi lebih mencabar secara teknikal dan sering dikaitkan dengan beberapa had seperti ketidakstabilan kamera, pelbagai gerakan yang terhad, serta pemantauan dua dimensi (2D) menyebabkan kesukaran untuk membedah pesakit dalam keadaan rumit.

“Dengan pengenalan robot pembedahan da Vinci, doktor bedah kini beroperasi dengan penglihatan tiga dimensi (3D) dan melakukan pergerakan yang lebih tepat dengan EndoWrist, iaitu peralatan yang dapat membengkok dan berpusing jauh lebih baik daripada pergelangan tangan manusia,” katanya.

Bengkel itu dihadiri 15 perunding obstetrik dan ginekologi dari Malaysia yang dijemput khas oleh SMC untuk melihat pembedahan secara langsung dan membiasakan diri dengan sistem tersebut.

Turut hadir Perunding Obstetrik dan Ginekologi & Pakar Onkologi Ginekologi SMC Dr Wong Chin Yuan, Perunding Obstetrik dan Ginekologi SMC Dr Chong Chin Kooi dan Timbalan Pengarah Urusan, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sunway dan Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Khoo Chow Huat.

Dalam bengkel itu juga, Dr Jason melakukan tiga pembedahan robotik secara langsung untuk dua pesakit yang didiagnosis dengan kanser endometrium dan seorang pesakit reseksi endometriosis.

Pembedahan itu sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di pusat perubatan itu yang dirujuk dari hospital kerajaan untuk pesakit kanser endometrium.

Dalam pada itu, Dr Chong menjelaskan sistem pembedahan da Vinci memudahkan pembedahan dengan mengatasi semua cabaran teknikal pembedahan laparoskopik semasa.

Oleh itu katanya, pembedahan robotik seolah-olah mempunyai kelebihan dalam prosedur yang sangat rumit apabila pembedahan ekstensif dan pembentukan semula anatomi yang tepat diperlukan.

Mengulas lanjut mengenai prosedur dan profil pesakit tipikal, Dr Wong berkata pesakit dengan kesakitan pelvik, haid serius dan PAP smear yang tidak normal perlu mendapatkan nasihat daripada pakar sakit puan sama ada mereka adalah calon yang sesuai untuk pembedahan robotik.

“Ini kerana pembedahan robotik bukan untuk semua pesakit dan biasanya pesakit yang tidak layak menjalani pembedahan laparoskopi tidak sesuai menjalani pembedahan robotik juga.

“Bagaimanapun, disebabkan penambahbaikan kecekapan instrumen dan persepsi kedalaman penglihatan dalam pembedahan robot, kriteria untuk mempertimbangkan pesakit yang layak dapat diperluas berdasarkan bidang, pada kes individu,” katanya.

Sementara itu, bagi peserta bengkel, Perunding Ginekologi dan Pakar Bedah Ginekologi Invasif Minima Dr Ho Choon Moy berkata, bengkel itu amat bermaklumat dan beliau mengakui banyak yang dapat dipelajari terutama menyaksikan Dr Jason melakukan pembedahan robot secara langsung dengan mahir.

Pesakit yang menjalani histerektomi, miomektomi dan pembedahan lain yang dilakukan dengan sistem pembedahan da Vinci katanya tinggal di hospital dalam tempoh lebih singkat, mengalami kesakitan yang lebih berkurangan disebabkan insisi yang sedikit dan lebih kecil daripada prosedur.

“Pembedahan robotik lebih tepat, dilakukan di bawah penglihatan 3D dan oleh itu pendarahan kurang dan menjadikannya lebih selamat. Pada pendapat saya, pembedahan terbuka tidak lama lagi akan ketinggalan zaman pada masa depan dan akan diambil alih oleh pembedahan robotik,” katanya.

Sementara itu, seorang pesakit yang menjalani pembedahan reseksi endometriosis robotik, Khen turut berkongsi pengalamannya dan adalah satu penghormatan buatnya untuk menjadi sebahagian daripada pembedahan robotik di pusat perubatan itu.

“Saya amat bersetuju pembedahan robotik membawa kepada pemulihan yang lebih cepat.

“Berbanding pembedahan terbuka terakhir yang saya jalani pada 2013, kesakitan yang saya alami begitu minimum dan pembedahan kurang berisiko. Saya terkejut dapat bergerak dan turun dari katil hospital hanya beberapa jam selepas pembedahan, berbanding pembedahan tradisional yang membabitkan tempoh pemulihan tiga hingga enam minggu.

“Saya bersyukur kerana berada di ‘tangan’ doktor yang terbaik bersama Dr Jason, Dr Tan Ee Ping dan jururawat SMC yang menjaga saya dengan baik sepanjang pembedahan dan pasca pembedahan,” katanya.

Dalam pada itu Dr Jason memuji tindakan SMC melabur dalam teknologi baru untuk doktor bedah yang berbakat bagi membolehkan mereka menawarkan pembedahan robotik dan pembedahan invasif minima.

Katanya, pembedahan invasif minimum membolehkan hasil pesakit yang lebih baik dan pemulihan yang lebih pantas sekaligus mengembalikan mereka kepada kualiti hidup.

“Amat menggalakkan untuk melihat pusat perubatan ini komited untuk menawarkan yang terbaik kepada pesakitnya. Dedikasi komitmen ini, dari pihak pengurusan hingga doktor dan jururawat amat memberi inspirasi,” katanya.

Bengkel Ginekologi Robotik adalah salah satu inisiatif SMC untuk menubuhkan Pusat Kanser dan Radiosurgeri sebagai Pusat Kecemerlangan di Malaysia.

Dengan menggalakkan bengkel pembelajaran yang membiasakan pakar bedah dan hospital mengenai bagaimana pembedahan dibantu komputer dapat mengatasi pelbagai jenis kanser, SMC berusaha meningkatkan kualiti penjagaan terkoordinasi yang berpusat kepada pesakit bagi mereka yang menjalani rawatan dan terapi kanser di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 3:30 PM