MUHAMMAD Syakir menunjukkan pintu bilik anaknya yang didakwa diganggu ketukan misteri. FOTO Aizat Sharif
MUHAMMAD Syakir menunjukkan pintu bilik anaknya yang didakwa diganggu ketukan misteri. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Arau: Gangguan ketukan misteri yang didakwa berlaku di kawasan Batu Bertangkup, Chuping di Padang Besar turut berlaku di sekitar Pauh, Arau.

Malah, ada mendakwa gangguan ketukan berkenaan sudah semakin 'berani' sehingga memasuki ke dalam rumah pula.

Situasi sama berlaku kepada pasangan suami dan isteri, Muhammad Syakir Mohd Yusof, 29, dan Siti Masmerang Arifin, 47, yang mendakwa kediaman mereka di Taman Pauh Indah, Pauh di sini mengalami gangguan sebanyak dua kali pada Ahad dan semalam.

Menurut Muhammad Syakir, ia adalah kejadian pertama berlaku di rumah yang sudah setahun diduduki oleh mereka.

"Seingat saya ketika itu suasana di sekitar rumah sunyi, sekitar 2.30 pagi, tiba-tiba terdengar ketukan di pintu hadapan rumah sebanyak tiga kali.

"Gaya ketukan itu agak pantas seperti mendesak kami untuk segera membuka pintu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pauh Indah, Arau, di sini hari ini.

Katanya, selepas ketukan itu berlaku, dia mengejutkan isterinya dan segera memeriksa, namun tiada sesiapa pun berada di luar rumah.

"Malah, selepas saya membuka pintu rumah juga, terdengar salakan anjing jiran bersahutan dan segera saya menutup pintu semula," katanya.

Dia berkata, gangguan itu tidak terhenti di situ dan pada keesokannya, mereka sekali lagi mendakwa diganggu ketukan misteri berkenaan.

"Kali ini ketukan itu sudah memasuki ke dalam rumah. Sekitar 2.20 pagi, saya terdengar ketukan yang sama seperti di pintu rumah semalam kali ini, di hadapan pintu bilik anak saya.

"Saya segera memeriksa sama ada bunyi itu sengaja dilakukan oleh anak saya namun apabila pintu bilik dibuka, anak saya sedang nyenyak tidur," katanya.

Muhammad Syakir berkata, pada mulanya dia tidak mahu menceritakan perkara ini kepada umum kerana tidak mahu dianggap cuba mereka cerita.

"Walhal inilah yang benar terjadi pada kami," katanya.

Sebelum ini, gangguan ketukan misteri ini didakwa berlaku di Perlis sejak Jumaat lalu di beberapa kawasan di Batu Bertangkup, Chuping, Padang Besar sebelum ia 'merebak' ke kawasan lain seperti di Pauh, Arau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:07 PM