Anthony Loke ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan di sebahagian lot dekat Bandar Perai, Seberang Perai Tengah hari ini. FOTO BERNAMA
Anthony Loke ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan di sebahagian lot dekat Bandar Perai, Seberang Perai Tengah hari ini. FOTO BERNAMA
Siti Aminah Mohd Yusof


Butterworth: Perkhidmatan feri ditawarkan secara percuma selama 50 jam bermula 12.01 tengah malam, 24 Januari sehingga 2 pagi, 26 Januari sempena perayaan Thaipusam akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan feri percuma diperkenalkan buat pertama kali sempena Thaipusam dengan pengangkutan awam itu akan beroperasi selama 24 jam dalam tempoh berkenaan.

"Kita menjangkakan ribuan pengunjung akan membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam, jadi diharapkan perkhidmatan feri percuma dapat membantu memudahkan pergerakan rakyat.

"Ini amat memudahkan khususnya penduduk-penduduk di Seberang Perai untuk pergi ke bahagian pulau tanpa menggunakan kereta," katanya.

Terdahulu, Loke menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi membangunkan Kampung Manis yang pada asalnya adalah penempatan setinggan.

Beliau berkata, penumpang feri turut berpeluang menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma yang beroperasi bermula 2 petang hingga 1 pagi, 24 Januari dan 5.30 pagi hingga 1 pagi pada 25 Januari menuju ke kawasan sekitar sambutan.

Menurutnya, inisiatif itu dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan masalah kesesakan trafik pada musim perayaan.

"Kita juga akan mengumumkan dari semasa ke semasa perkhidmatan percuma yang disediakan ketika perayaan utama lain," katanya.

Sebelum ini, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) turut memberikan tambang percuma kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari ini sempena perayaan Thaipusam.

Selain inisiatif itu, perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan beroperasi tanpa henti selama empat hari bermula 23 sehingga 26 Januari, dengan 28 stesen beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh berkenaan berbanding 26 stesen tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 4:04 PM