GAMBAR tular lelaki didakwa melakukan serangan seksual terhadap wanita ketika menunggang motosikal di kawasan Kota Damansara.
GAMBAR tular lelaki didakwa melakukan serangan seksual terhadap wanita ketika menunggang motosikal di kawasan Kota Damansara.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis mengesan lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan wanita di kawasan Kota Damansara, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan itu dikesan menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, petang semalam.

"Rakaman berdurasi 46 saat itu memaparkan seorang wanita diganggu secara seksual oleh lelaki menunggang motosikal sambil melakukan perbuatan disyaki onani.

"Kejadian dipercayai berlaku di kawasan Kota Damansara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, semakan mendapati tiada laporan polis dibuat oleh mangsa dan menasihati mangsa supaya tampil melaporkan kejadian untuk siasatan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Mohamad Fakhrudin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Magenderan di talian 017-3356810 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Terdahulu, pemilik akaun di aplikasi X dipercayai mangsa berkongsi detik cemas diganggu seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Dalam perkongsian itu, dia mendakwa dihampiri seorang lelaki yang bertanyakan jalan sebelum lelaki itu disedari mengekorinya dan membuka seluar serta melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 12:28 PM