Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) diiringi Shahelmey (empat kanan) mendengar penerangan mengenai perkembangan projek pembinaan pakej enam, Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Penampang. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) diiringi Shahelmey (empat kanan) mendengar penerangan mengenai perkembangan projek pembinaan pakej enam, Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Penampang. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan fitnah yang mengaitkan anak Datuk Seri Hajiji Noor dengan kartel dadah sebagai cubaan mengaibkan nama Ketua Menteri Sabah itu dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap dalang yang melakukan perbuatan terbabit.

Katanya, paparan dalam media sosial berhubung fitnah itu bukan setakat palsu, malah secara terang-terangan membuat tuduhan liar bertujuan mencemar nama baik keluarga Ketua Menteri Sabah.

"Tindakan jijik ini jelas bukan saja satu usaha menjejaskan imej Ketua Menteri tetapi juga Gagasan Rakyat dan GRS yang dipimpin beliau.

"Mungkinkah taktik kotor ini didalangi oleh pihak yang sebelum ini cuba menjatuhkan kerajaan negeri diterajui GRS tetapi gagal dan kini sudah ketandusan modal serta terdesak sehingga menyebarkan cerita yang direka-reka demi meraih sokongan politik?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, anak sulung Hajiji, Mohd Reza membuat laporan di Balai Polis Tuaran bagi menafikan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.

Mohd Reza dalam laporan polis itu menafikan tuduhan mengaitkan dirinya sebagai antara individu yang menjadi buruan polis kerana terbabit dengan kegiatan dadah.

Sementara itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, rakyat Sabah bijak menilai dan akan menolak pihak yang menggunakan taktik kotor dengan cara menyebar fitnah.

"Melalui laporan polis yang dibuat oleh Mohd Reza ini, diharap siasatan dapat dijalankan agar dalang terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 12:56 PM