DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa tuduhan rasuah ke atas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dianggap sebagai luar biasa dan 'luar tabii' kerana tiada pemberian wang atau projek diberikan kerajaan negeri.

Presiden KFA itu menegaskan, tiada sebarang penyalahgunaan, 'songlap' atau penyelewengan untuk kepentingan peribadi dilakukan mana-mana pihak dalam persatuan itu, melainkan wang dibelanjakan sepenuhnya untuk KFA.

Mendedahkan kronologi tuduhan itu, beliau menjelaskan, ia bermula pada 2020 apabila syarikat Tulangis Sdn Bhd yang diwakili Datuk Mohd Hazarul Ifdaz menyatakan minat memiliki saham pasukan Darulaman Football Club (DAFC).

Katanya, rundingan tawaran pemilikan saham telah berlangsung dan Tulangis bersetuju memberi pinjaman RM5 juta sebagai komitmen bagi pembelian saham DAFC yang bernilai RM30 juta.

"Sebanyak RM5 juta didepositkan ke akaun KFA pada 2020, namun rundingan seterusnya gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati Tulangis bermasalah dan proses rundingan dihentikan serta merta.

"Tulangis kemudian menuntut pembayaran sebahagian pinjaman berjumlah RM1.3 juta daripada jumlah RM5 juta berdasarkan kemampuan kewangan semasa KFA.

"Dalam waktu sama, muncul Berjaya Corporation Berhad, sebuah konglomerat besar mendakwa pinjaman RM5 juta itu adalah wang mereka yang diberi kepada Tulangis bagi mendorong kelulusan mengadakan kerjasama untuk melaksana menyambung konsesi rawatan bekalan air atas nama syarikat lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, berikutan itu tidak timbul sama sekali kes penyelewengan atau pecah amanah wang bernilai RM6 juta oleh KFA kerana jumlah pinjaman adalah RM5 juta.

Katanya, Berjaya Corporation tidak pernah berurusan dengan KFA, sebaliknya menuntut wang yang diberikan kepada Tulangis melalui surat tuntutan yang disalinankan kepada KFA.

"Pihak yang melakukan penipuan adalah Tulangis dan yang tertipu dengan janji projek adalah Berjaya Corporation. Pihak yang menjanjikan projek kepada Berjaya Corporation adalah Tulangis dan bukannya KFA.

"Tulangis juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba tetapi penilaian Perbadanan Menteri Besar (MBI) selaku pemaju dan pemilik tanah menunjukkan Tulangis langsung tidak mempunyai keupayaan.

"Kedua-dua syarikat iaitu Tulangis dan Berjaya Corporation tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan, walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA," katanya.

Beliau berkata, memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA.

"Dakwaan rasuah ini paling luar biasa di dunia dan boleh dianggap luar tabii. Kes disiasat kerana tidak memberi projek sedangkan kes rasuah biasanya disiasat melibatkan pemberian wang atau pemberian projek. Inilah plot yang dimaksudkan iaitu mengada-adakan hal yang tidak ada.

"Mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bertujuan merosakkan reputasi KFA, Presiden atau Pegawai-Pegawainya berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM6 juta akan berhadapan tindakan undang-undang sesegera mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 5:40 PM