Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO File NSTP
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO File NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor tetap akan meneruskan hasratnya meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak (KFA) Kedah bagi memberi tumpuan kepada tugasan lain dalam kerajaan negeri.

Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa keputusannya meletak jawatan sebagai presiden KFA, didorong rasa merajuk ekoran dikecam berikutan isu logo serta nama pasukan yang akan digunakan Kedah pada musim depan.

"Bab saya cari duit untuk bayar hutang KFA, siapa pun tak kata apa-apa. Tetapi hanya sebab logo, orang jerit lebih daripada hari nak kiamat esok.

"Semua pihak patut lebih adil dalam hal ini dan atas penilaian berkenaan, saya sendiri rasa tak layak jadi presiden. Berilah pada sesiapa malah kalau ada peminat layak jadi, sila tampil di mana mereka boleh membeli kelab bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata beliau akan bertindak untuk menghantar surat peletakan jawatan sekali lagi sekiranya surat yang sama dihantar pada 25 September lalu ditolak.

Katanya, peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 15 Oktober ini seiring dengan sasaran beliau untuk menyelesaikan kesemua hutang KFA berjumlah RM14 juta sebelum tarikh berkenaan.

"Keputusan sama ada peletakan jawatan diterima atau tidak akan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA.

Mereka boleh terima atau tolak peletakan jawatan itu. Tetapi saya harap mereka terima kerana kalau KFA tolak pun, saya hantar surat baharu.

"Siapa pengganti saya akan diputuskan oleh ahli gabungan KFA. Saya amat berharap supaya pasukan kita dapat terus menunjukkan kecemerlangan dengan menewaskan Perak dalam perlawanan terakhir bagi mengekalkan kedudukan di tangga kedua Liga Super musim ini," katanya.

Mengulas mengenai isu logo dan nama pasukan yang masih hangat diperkatakan penyokong, Muhammad Sanusi, berkata ketika ini KFA sedang mempertimbangkan segala cadangan dan komen daripada peminat dengan beliau difahamkan akan ada pertandingan mencipta logo dibuat selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 5:46 PM