MOHD Shuhaily (dua dari kanan) bersama Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan barangan berjenama yang dirampas susulan tangkapan anggota sindiket pecah rumah. FOTO Faiz Anuar.
MOHD Shuhaily (dua dari kanan) bersama Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan barangan berjenama yang dirampas susulan tangkapan anggota sindiket pecah rumah. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis menahan wanita tempatan dipercayai dalang sindiket pecah rumah mewah di sekitar Selangor dan Johor.

Turut ditahan lima individu iaitu dua lelaki warga Colombia dan tiga warga tempatan termasuk seorang wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia antara 45 hingga 62 tahun ditangkap hasil pemeriksaan di lima lokasi berbeza di negeri ini dan Kuala Lumpur pada 3 Januari lalu.

Katanya, operasi sindiket bermula selepas wanita berusia 55 tahun berkenalan dengan dua lelaki warga Colombia yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat dan seterusnya merekrut mereka.

"Mereka menyasarkan rumah mewah dengan menyamar sebagai penghantar barangan dan sekiranya dapati rumah tiada penghuni, dua lelaki Colombia berkenaan akan memecah masuk.

"Tangkapan oleh Bahagian D4 Bukit Aman dam IPK Selangor ini berjaya menyelesaikan 19 kes iaitu 10 di Selangor dan sembilan di Johor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.9 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurutnya, polis juga merampas jam tangan berjenama; barang kemas; beg pakaian berjenama; mata wang asing; mata wang tempatan; kad lesen memandu pelbagai negara serta batu kristal yang dipercayai hasil rompakan.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga kereta termasuk sebuah Perodua Bezza yang dilaporkan hilang, disyaki telah diguna pakai suspek semasa melakukan jenayah pecah rumah.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta menjumpai enam nombor pendaftaran palsu, pelbagai peralatan pecah rumah serta pakaian dan beg yang digunakan suspek," katanya.

Mohd Shuhaily juga memaklumkan, hasil barangan curi itu akan dijual kepada pembeli yang diatur dalang sindiket di sebuah pusat beli belah di Lembah Klang.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati seorang daripada lelaki Colombia memiliki rekod lampau di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:09 PM