MUHAMMAD Sanusi Md Nor
MUHAMMAD Sanusi Md Nor
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

Menteri Besar Kedah itu berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

Beliau yang juga Presiden KFA bagaimanapun, menjelaskan kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.

"Plot itu saya tahu, ia membabitkan syarikat besar yang lobi untuk dapat sambungan konsesi rawatan air, syarikat itu derma kerana nak suruh kita sambung.

"Saya kata konsesi ini kita tak sambung, kita nak buat sendiri. Dermalah RM80 bilion pun tak sambung, lepas itu dia minta balik duit (sumbangan)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra.

Beliau berkata demikian bagi membongkar plot sebenar yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA membabitkan isu rasuah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sumbangan syarikat itu dibuat ketika pasukan bola sepak Kedah masih di bawah pengurusan KFA.

Tegasnya, beliau akan mendedahkan lebih banyak plot secara bersiri selepas ini sekiranya pihak yang berkepentingan mahu terus 'berperang' dengannya.

"Depa (mereka) nak bagi Kedah nampak buruk dengan rasuah, saya tak sambung konsesi mana boleh kata rasuah.

"Semua persatuan bola sepak di negara ini ada terima hasil sumbangan, derma. Mana ada untuk keuntungan urus pasukan bola," katanya.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi mengingatkan agensi penguatkuasaan tidak menjadi 'barua' kepada pihak yang memiliki kepentingan politik tertentu.

"Saya hendak pesan kepada agensi awam, jangan jadi barua kepada puak ini, barua ini bahasa Kedah panggil 'pak yed' (orang suruhan).

"Saya cakap (saya) nak 'sapu' puak ini pasal jadi barua orang, menzalimi orang," katanya.

Sanusi berkata, beliau tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan terhadap empat individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, kerana ia disifatkan sebagai menzalimi orang miskin.

"Depa itu susah, semua saya kenal. CEO itu saya suruh kerja di KFA gaji RM5,000. Tetapi hutang (KFA ketika itu) ada RM26 juta, gaji pemain tidak bayar. Pembiayaan semasa tidak ada duit.

"Empat orang itu saya kenal secara peribadi, tayar kereta pun (mereka) tak boleh tukar, anak sekolah pun baju sekolah saya bagi. Kalau kamu buat orang kaya lantaklah, cari dosa dengan orang miskin, langkah mayat aku dulu," katanya sebak.

Kelmarin, media melaporkan, SPRM menahan reman empat individu termasuk CEO KFA masing-masing berusia 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM6 juta.

Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 3:43 PM