Pusat Kawalan Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)
Pusat Kawalan Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)
Oleh Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Syarikat dan pengendali penerbangan yang berpangkalan di Malaysia diberi tempoh sehingga Rabu ini untuk memeriksa sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk tujuan mengesan perkakasan yang longgar.

Maklumat keselamatan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang dikeluarkan pada 4 Januari lalu, mengarahkan pengendali menjalankan pemeriksaan pesawar Boeing 737 MAX untuk mengesan satu 'bolt' seperti yang disenaraikan dalam nasihat oleh Syarikat Boeing.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Norazman Mahmud berkata, perkara ini susulan penemuan oleh pengendali antarabangsa yang mengesan satu bolt yang kehilangan nat pada mekanis merangkaian kawalan kemudi pesawat itu.

"Pengikat memainkan peranan penting dalam memastikan sistem kawalan kemudi berfungsi dengan baik.

"Pemutus sambungan akan mengakibatkan kehilangan rasa positif dan pemusatan pada kedua-dua pedal kemudi Kapten dan Pegawai Pertama, yang akan bertindak balas kepada input pedal juruterbang," katanya.

CAAM turut menasihati operator supaya merancang dan menjadualkan pemeriksaan ke atas armada Boeing 737 MAX mereka.

Agensi itu turut meminta pemeriksaan dilaporkan kepada CAAM melalui Primary Inspector yang ditugaskan oleh organisasi dan juga melalui Sistem Pelaporan Penerbangan CAAM (CAReS).

"Kedua-dua Syarikat Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS memantau rapi hasil pemeriksaan dan menjalankan semakan terhadap kesan keselamatan bagi menentukan sama ada tindakan tambahan diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 1:21 PM