KAMPUNG Laut Johor Bahru mula dinaiki air, selain mencatatkan jumlah mangsa banjir di Johor kembali meningkat. FOTO Nurul Amanina Suhaini
KAMPUNG Laut Johor Bahru mula dinaiki air, selain mencatatkan jumlah mangsa banjir di Johor kembali meningkat. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Penduduk yang terjejas akibat banjir di negeri ini meningkat kepada 1,251 mangsa, setakat 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, jumlah itu membabitkan 382 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya 645 mangsa daripada 183 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS, pada 12 tengah hari tadi.

"Sembilan PPS Johor Bahru diaktifkan dengan menempatkan seramai 268 mangsa daripada 106 keluarga, manakala Kota Tinggi pula, seramai 569 mangsa daripada 165 keluarga ditempatkan di 10 PPS.

"Di Segamat masih merekodkan 94 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di tiga PPS, begitu juga di Mersing yang mencatatkan 320 mangsa daripada 85 keluarga ditempatkan di lima PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, Jalan Felda Semenchu, di Kota Tinggi, dan Jalan Tanah Abang, di Mersing ditutup sepenuhnya bagi semua kenderaan.

MetMalaysia dilaporkan mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap bahaya yang dijangka berlaku di beberapa daerah di Johor sehingga esok, pagi tadi.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru diletakkan dalam amaran bahaya iaitu hujan sangat lebat dijangka berterusan sehingga esok.

Sementara itu, Segamat dan Mersing pula diberi amaran cuaca buruk iaitu hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 5:24 PM