Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seorang pemuda sanggup melupakan dulu hasratnya untuk mencari teman hidup serta mencari pekerjaan tetap semata-mata untuk menjaga ibu bapanya yang menderita sakit.

Mohd Yusri Haiqal Mohd Yusop, 32, sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang tetapi terpaksa berhenti enam tahun lalu untuk pulang ke kampungnya di Kampung Chegar, Kuala Mawa di sini kerana ingin menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak tunggal.

Katanya, ibunya, Mahani Saleh, 57, menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak dua tahun lalu dan baru menjalani pembedahan membuang payu dara kanan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 27 Oktober lalu.

Bapanya pula, Mohd Yusop Sulaiman, 62, diserang angin ahmar sejak 2017 akibat tekanan darah tinggi mendadak menyebabkan dia kini tidak dapat bergerak.

Mohd Yusri Haiqal berkata, dia mengakui agak tertekan kerana terpaksa menjaga kedua ibu bapanya walaupun pada masa sama terpaksa bekerja sebagai mekanik secara sambilan untuk menyara kehidupan mereka.

"Saya bukan mengeluh untuk menjaga mereka tapi saya agak tertekan kerana terpaksa tinggalkan ayah seorang diri di rumah kalau hendak bawa emak ke Hospital Lama di Alor Setar.

"Bimbang juga apa-apa berlaku padanya kerana ayah tak boleh bergerak tetapi dalam masa sama saya perlu menguruskan emak ke hospital mengikut temu janji doktor kerana emak juga sudah tidak larat.

"Adakalanya saya menangis memikirkan mereka selain mengenangkan ujian dari Allah yang saya perlu saya tempuhi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Mohd Yusri Haiqal, dia amat berhasrat untuk mencari pekerjaan tetap, namun terpaksa melupakannya kerana tidak mahu berpisah dengan ibu bapanya selain mahu menjaga mereka sepenuhnya.

Katanya, setiap hari dialah yang menguruskan untuk memandikan bapanya menggunakan kerusi roda serta menukar lampin pakai buang selain menyuap ubat.

"Emak masih boleh bergerak tetapi dia perlu banyak berehat kerana awal Januari tahun depan, dia akan menjalani rawatan kemoterapi yang pertama.

"Bukan saya tak mahu berkahwin, tapi saya perlu uruskan emak dan ayah dulu malah gaji yang saya peroleh hasil kerja sambilan juga tidak menentu bergantung pada permintaan. Kalau ada rezeki, adalah duit untuk saya," katanya.

Sementara itu, ibunya Mahani berkata, dia menghidap kanser selepas terdapat ketulan di payudara kanan sebelum membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran.

Katanya, selepas itu kesnya dirujuk di Hospital Lama Alor Setar dan selepas mengambil sampel, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payu dara tahap tiga.

"Sejak itu saya kerap berulang alik ke hospital di Alor Setar untuk menjalani rawatan sebelum malah doktor memberitahu kanser itu sudah merebak menyebabkan payu dara kanan terpaksa dibuang.

"Dalam masa sama, saya berharap Mohd Yusri Haiqal bertemu jodoh kerana bimbang melihat keadaannya menguruskan kami serta bekerja secara sambilan dengan upah yang tidak menentu," katanya.

Mahani berkata, bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu digunakan sepenuhnya untuk kos ulang alik ke hospital, membeli susu formula serta lampin pakai buang suaminya selain membeli barangan keperluan dapur setiap bulan tetapi tidak mencukupi untuk menyara mereka tiga beranak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi 011-36035968 (Mohd Yusri Haiqal) atau ibunya, Mahani di talian 017-5803849 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 9:54 AM
MOHD Yusri (kanan) menjaga ibu dan bapanya yang menghidap penyakit kronik. FOTO Zuliaty Zulkifli.
MOHD Yusri (kanan) menjaga ibu dan bapanya yang menghidap penyakit kronik. FOTO Zuliaty Zulkifli.