CHOW Kon Yeow ditemui media mengulas isu gangguan bekalan air ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Kebajikan Kek Lok Si di Air Itam. FOTO Danial Saad
CHOW Kon Yeow ditemui media mengulas isu gangguan bekalan air ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Kebajikan Kek Lok Si di Air Itam. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Seramai 9,760 pengguna di Daerah Barat Daya membabitkan 11 lokasi di sekitar Bayan Lepas dan Balik Pulau masih berdepan masalah bekalan air susulan kejadian paip pecah di dasar Sungai Perai, setakat pagi ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata pemulihan bekalan di seluruh Pulau Pinang telah mencapai 97 peratus dan menyatakan keyakinan bahawa gangguan air di kawasan terjejas dapat dipulihkan sepenuhnya hari ini.

"Kita harap pada hari ini juga dapat mencapai 100 peratus. Ada beberapa kawasan yang sedang dalam proses dipercayai ia ambil masa yang sedikit panjang.

"Ia membabitkan kawasan yang terletak paling hujung sehingga menyebabkan kelewatan menerima bekalan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah pembesaran Hospital Kebajikan Kek Lok Si di sini, hari ini.

Kawasan terjejas ialah Alor Vista di Lebuh Relau; Sungai Ara, Jalan Dato Ismail Hashim dan Setia Pearl Island di Bayan Lepas; Teluk Kumbar; Pulau Betong, Jalan Pondok Upeh, Batu Itam, Bandar Casia, Batu Maung dan Jalan Pondok Upeh, Flat Lily, Bukit Penara di Balik Pulau.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan cadangan pemberian diskaun air kepada pengguna terjejas seperti disarankan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) turut berpendapat insiden paip pecah itu membuka peluang untuk meneliti kelemahan dan impak dalam perancangan operasi pembaikan besaran yang bakal menyebabkan gangguan air selama empat hari bulan depan.

"Kita akan mengadakan mesyuarat untuk meningkatkan persediaan tahun depan sebab dengan kejadian tidak dijangka memberi peluang untuk kita lihat di mana kelemahan dan apa yang perlu diperkuatkan supaya impaknya dapat diminimumkan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz, mempersoalkan sampai bila kawasannya perlu menjadi 'mangsa' dengan alasan berada di kedudukan paling hujung tanpa penyelesaian tuntas dilakukan pihak PBAPP.

"PBAPP, setiap kali 'shutdown' (penutupan bekalan air) perkara sama berlaku seolah-olah tiada langkah penyelesaian diambil. Saya telah suarakan, kita tidak boleh jadikan alasan Bayan Lepas, Sungai Ara berada di hujung.

"Kawasan Mutiara Perdana, Setia Triangle, Bukit Belah, Teluk Kumbar sampai bila perlu menjadi mangsa tanpa solusi tuntas. Populasi penduduk kian ramai dan pertambahan kediaman elit.

"Pelbagai pembangunan dirancang dan sedang naik. Biarlah ia selaras dengan kemampuan yang ada dengan perkara keperluan asas perlu diutamakan. PBAPP perlu ada solusi segera," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya dan Seberang Perai di negeri tersebut mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah pada 18 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 1:19 PM