JAMBATAN Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
JAMBATAN Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) atau turut dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup pada 22 dan 23 Disember (Jumaat dan Sabtu) ini sempena acara kayuhan basikal Penang 2nd Bridge Polis Diraja Malaysia Solidariti Fun Ride 2023.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, 1,500 peserta dijangka mengambil bahagian dalam edisi kelima acara itu.

"Penutupan dan lencongan jalan akan dibuat secara berperingkat bermula 8 malam 22 Disember hingga 3 pagi 23 Dis dan acara kayuhan tersebut membabitkan jarak 52 kilometer.

"Seramai 800 pegawai dan anggota polis terlibat dalam menjaga lalu lintas dan juga keselamatan orang ramai, mereka dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi melancarkan perjalanan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, peringkat pertama bermula pada 8 malam melibatkan bulatan Queen 1 dan Bulatan Queensbay manakala peringkat kedua pada 9 malam melibatkan bulatan Persiaran Bayan Indah, bulatan Batu Maung menghala ke pusat bandar.

Mohamed Usuf berkata, peringkat ketiga ialah pada 10 malam melibatkan kesemua susur masuk dan keluar JSAHMS kedua-dua arah dan bulatan Bayan Baru.

Beliau berkata turut terlibat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke arah kawasan perindustrian dan lencongan ke Jalan Tun Dr Awang serta Jalan Sultan Azlan Shah dan jalan di sekitar Bandar Cassia, Batu Kawan.

"Pengguna jalan raya dari tanah besar menghala ke arah Bayan Lepas/Bayan Baru perlu melalui Jalan Sultan Azlan Shah manakala mereka dari utara/selatan yang hendak ke Bandar Cassia perlu melalui Bukit Tambun," katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 6:27 PM