Che Jaapa Che Endut, 61 bapa kepada mangsa, Mohamad Amirul Haikal. FOTO Asrol Awang
Che Jaapa Che Endut, 61 bapa kepada mangsa, Mohamad Amirul Haikal. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: "Saya harap adik ditemui," kata Che Jaapa Che Endut, bapa kepada Mohamad Amirul Haikal yang dikhuatiri lemas di tali air Lorong Indera Sempurna 2, Perkampungan Indera Sempurna di sini, semalam.

Che Jaapa, 61, berkata, dia tidak menyangka anak bongsu daripada tujuh beradik itu mandi di tali air terbabit kerana sering berpesan supaya tidak berbuat demikian kerana dia tidak pandai berenang.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan Mohamad Amirul Haikal dikatakan lemas kerana menjangkakan anak lelakinya itu hanya pergi ke rumah rakannya.

"Sebenarnya, adik jarang keluar rumah pada 3 petang tetapi dia memaklumkan ingin ke rumah kawan dan saya agak mungkin ada urusan sekolah.

"Kebiasaannya pada 5 petang baru dia keluar bermain bola sepak bersama kawannya tetapi sebaliknya dia pergi mandi bersama kawannya di tali air itu.

"Saya reda dengan apa juga yang berlaku. Dia juga tidak menghadapi masalah dengan ahli keluarga kerana begitu rapat dengan saya dan ibunya (Faridah Jusoh) serta adik-beradiknya yang lain," katanya.

Che Jaapa berkata demikian ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan penyelamat (SAR) di kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya di sini, hari ini.

Abang mangsa, Mohamad Amirul Hakimi, 22, pula berkata, tiada sebarang perubahan ditunjukkan adik bongsunya itu dan tidak menyangka Mohamad Amirul Haikal akan ke tali air untuk mandi.

"Cuma saya perasan adik makin rapat dengan mak dan tidak sangka adik dihanyutkan ketika mandi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, operasi SAR yang bermula 8 pagi semalam menumpukan kawasan pencarian sepanjang tiga kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, seramai 45 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi pencarian yang membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"SAR turut mendapatkan bantuan seekor anjing pengesan JBPM dari Kuala Lumpur untuk operasi terutama dari lokasi mangsa terjatuh,

"Kawasan tumpuan operasi dari kawasan sungai Air Hitam hingga persimpangan Sungai Belat," katanya.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, Mohamad Amirul Haikal, 14, juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau dikhuatiri lemas ketika mandi bersama enam rakannya di tali air itu.

Susulan kejadian itu, SAR digerakkan bersama JBPM, PDRM dan APM sebelum ditangguhkan 7 malam tadi dan disambung pada 8 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 1:28 PM