ISHAM dipecat. FOTO arkib Bernama
ISHAM dipecat. FOTO arkib Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tindakan Umno yang memecat individu kerana berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan parti akan menyebabkan tiada lagi mereka yang berani menyuarakan pandangan kritikal selepas ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, ini kerana mereka khuatir akan berhadapan dengan tindakan oleh pimpinan Umno.

Katanya, tindakan memecat mereka yang kritikal ini juga menunjukkan hak kebebasan bersuara dalam parti Umno itu cuba dilenyapkan dan turut berasakan kekhuatiran mengenai suara mahu dikemukakan oleh akar umbi parti.

"Bagaimana suara akar umbi di bawah untuk mengemukakan pandangan yang kritikal kepada parti, sedangkan bagi mereka yang berjawatan pun berdepan dengan tindakan yang begitu keras.

"Pada perspektif pimpinan pula, mereka melihat suara sebegini seolah-olah mempertikaikan pendirian parti," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengumumkan pemecatan Isham Jalil yang menjawat jawatan Ahli MKT bagi penggal kedua.

Selain Isham, sebelum ini, pemimpin lain yang dipecat ialah bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Umno juga menggantung beberapa pemimpinnya termasuk bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan.

Hisomuddin berkata, menerusi kajian dan pemerhatian di lapangan dibuat pihaknya, ahli akar umbi juga melihat pucuk pimpinan Umno tidak mampu menjelaskan dengan berkesan pendirian parti itu untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan dan mengadakan kerjasama dengan DAP.

"Ahli-ahli di bawah ini sebenarnya mereka tidak selesa berhubung dengan situasi sedemikian. Apabila mereka melihat (ada) pimpinan bersuara (dan) dikenakan tindakan menyebabkan berlakunya beberapa siri pilihan raya itu ahli Umno mengalih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

"Mereka masih lagi ahli Umno tetapi mereka agak kecewa. Dengan kekecewaan ini, bagi saya merugikan Umno. Dalam konteks yang lebih spesifik, tindakan yang dibuat oleh Umno ini sebenarnya menjejaskan sokongan ahli mereka sendiri kepada parti," katanya.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan pula melihat kritikan terbuka yang dibuat oleh mereka yang berjawatan terhadap parti adalah amat berbahaya.

Menurutnya, ini kerana ia bukan saja melemahkan Umno, tetapi bakal meruntuhkan Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

"Walaupun Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 30 ahli Parlimen, tetapi setiap keputusan sama ada betul atau secara persepsinya oleh BN terhadap Kerajaan Perpaduan itu mempunyai implikasi yang lebih besar.

"Saya ambil contoh Umno dikatakan ada ura-ura untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, ini akan memberikan persepsi negatif terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Azmi berkata, mengehadkan kritikan secara terbuka sehingga pemecatan atau penggantungan ahli itu terpaksa dilakukan bukan untuk kestabilan parti itu sendiri semata-mata tetapi adalah bagi kestabilan kerajaan secara keseluruhannya.

"Mahu tidak mahu sokongan Umno dan BN amat diperlukan oleh Kerajaan Perpaduan atau Perdana Menteri itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:02 PM