FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kempen memboikot sesuatu produk perlu didahulukan dengan ilmu supaya tidak terjadinya penganiayaan terhadap pihak lain.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, kempen boikot yang mengikut emosi dikhuatiri akan menjurus kepada terjadinya kezaliman kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Hukum boikot ini secara asasnya untuk melemahkan ekonomi musuh Islam dan kita juga perlu bersandarkan kepada fatwa daripada mufti serta ilmuwan Islam.

"Hukum boikot untuk semua produk haram adalah jelas iaitu kita perlu memboikotnya, tetapi produk yang tidak jelas, kita perlu berhati-hati.

"Contohnya jika sesebuah perniagaan itu milik orang Islam yang menggunakan cap dagang jenama luar, pada masa sama, jenama berkenaan tidak jelas tentang pendiriannya, ini kita perlu berhati-hati," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mohd Izhar berkata, ilmu dalam agenda boikot ini sangat penting kerana tidak mahu ada peniaga atau pekerja beragama Islam yang terkesan dengan tindakan berkenaan.

"Kita tidak boleh melaksanakan boikot dengan kejahilan serta taasub, itu akan menjerumuskan kita dalam menzalimi orang lain.

"Agenda boikot bagi produk yang tidak jelas adalah bergantung kepada hak individu dan tiada hukum yang mengikat mereka sama ada untuk tidak membeli ataupun untuk membeli sesuatu produk itu.

"Pada masa sama, syarikat ini membayar zakat dan menyumbang ekonomi tempatan, jika kita boikot, mungkin akan menzalimi orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:07 AM