SUSPEK ditahan bersama alatan dipercayai diguna untuk melakukan jenayah pecah rumah. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK ditahan bersama alatan dipercayai diguna untuk melakukan jenayah pecah rumah. FOTO Ihsan Polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Seorang lelaki cuba meloloskan diri dengan memecut laju Proton Persona dipandunya apabila dikesan anggota unit peronda polis (MPV) di Damansara Perdana.

Bagaimanapun, nasibnya malang apabila kereta itu hilang kawalan dan terbabas berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail, dalam kejadian pada 2.20 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, selepas terbabas, suspek berumur 45 tahun keluar daripada kereta dan melarikan diri hingga ke sebuah hospital swasta.

"Dia berjaya diberkas dan pemeriksaan dalam kenderaan menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah rumah.

"Kita merampas sebatang spanar, sebatang kuku kambing yang telah diubah suai, pahat, dua pemutar skru, sebilah pisau, sebuah topi keledar, sepasang sarung tangan dan wang tunai berjumlah RM6,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 15 rekod

jenayah lampau dan tiga rekod dadah.

"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Meseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki alatan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 8:55 PM