GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Suri rumah dijatuhi didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu bagi permohonan kad pengenalan kanak-kanak tahun lalu.

Tertuduh, K Kalaivani, 42, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Mengikut pertuduhan, dia didapati membuat permohonan kad pengenalan kali pertama ke atas kanak-kanak lelaki dengan mengemukakan sijil lahir yang mengandungi maklumat palsu ibu kandung yang sah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Jempol pada 9 Mac lalu.

Sehubungan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut mengenakan hukuman penjara 10 hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JPN, Abdul Hilmi Muzhafar Hamsan manakala tertuduh diwakili peguam, M Yogamani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 2:11 PM