GAMBAR hiasan. Bangunan Menara DBKL. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Bangunan Menara DBKL. FOTO arkib NSTP
Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikah Lembaga Pelesenan Eksais WPKL yang bersidang pada 23 November lalu menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.

DBKL dalam kenyataan berkata, pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina masih tertakluk dalam garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

"Tiada pemansuhan kepada pembekuan pengeluaran lesen baru bagi penjualan minuman keras berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat permohonan lesen minuman keras WPKL yang sedang berkuatkuasa.

"Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang baru dilantik telah menjalankan fungsi sedia ada dan hanya mempertimbangkan permohonan pembaharuan lesen," katanya.

DBKL berkata, pihaknya berperanan sebagai urus setia kepada Lembaga Pelesenan Eksais WPKL dalam memproses permohonan Lesen Minuman Keras di Kuala Lumpur selaras dengan perwakilan kuasa mengikut Peraturan 18 Peraturan-peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) 1977.

"Persidangan lembaga pada 23 November 2023, hanya meluluskan sejumlah 1,519 permohonan pembaharuan lesen borong, rumah awam dan runcit.

"Tiada lesen runcit baru yang diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 12:08 PM