SAIFUDDIN Nasution berucap memberi amanat pada Perhimpunan bulan Kementerian Dalam Negeri sempena Setahun kerajaan Madani. FOTO Hazreen Mohamad
SAIFUDDIN Nasution berucap memberi amanat pada Perhimpunan bulan Kementerian Dalam Negeri sempena Setahun kerajaan Madani. FOTO Hazreen Mohamad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pelan Liberalisasi Visa yang diperkenalkan kepada pelancong China dan India akan diteruskan, meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang arahan lanjut mengenai situasi semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, beliau mengikuti aduan rakyat mengenai kebimbangan lonjakan kes, termasuk pihak sekolah yang didakwa sudah mengedarkan kembali pelitup muka disebabkan berlaku jangkitan.

"Bagaimanapun kita berpandukan kepada KKM dan sehingga kini masih belum mendapat sebarang perkembangan mengenai amaran atau langkah berjaga-jaga mengenai jangkitan itu," katanya ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Pelan Liberalisasi Visa selama 30 hari kepada pelancong China dan India bermula 1 Disember lalu, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah berjaga-jaga tetap diambil dengan setiap pelancong diwajibkan mengisi Kad Ketibaan Digital (DAC) tiga hari sebelum memulakan perjalanan ke Malaysia.

Katanya, DAC membolehkan pihak berkuasa mendapat maklumat mengenai keberadaan pelancong, tempat penginapan dan mengesan sepanjang 30 hari berada di negara ini.

"Sekiranya mereka berdepan masalah ataupun tidak sempat melakukan proses itu, mereka masih boleh berbuat demikian sejurus mendarat di pintu masuk negara," katanya yang memberitahu KDN tidak bertolak ansur dalam soal keselamatan negara dan memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:28 PM