FOTO ihsan FB Kempen Beli Barangan Malaysia
FOTO ihsan FB Kempen Beli Barangan Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Karnival Barangan Malaysia 2023 pada 13 hingga 17 Disember ini di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, Putrajaya.

KPDN pada kenyataan semalam, memaklumkan acara tahunan itu yang membabitkan 100 pempamer pelbagai produk tradisional dan inovasi moden, akan menjadi platform penting buat peniaga untuk mengetengahkan produk serta mengembangkan jalinan dan bekerjasama dengan rakan strategik yang berpotensi.

"Pengunjung berpeluang meneroka dan melihat kepelbagaian produk Malaysia dan ini adalah peluang yang baik bagi pengguna untuk menemukan produk baharu di samping menyokong perniagaan produk tempatan serta berbangga dengan warisan negara.

"Antara objektif utama yang ingin disampaikan adalah produk tempatan bukan sahaja mempunyai kualiti bertaraf dunia tetapi juga mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke luar negara," katanya.

Untuk maklumat terkini berkaitan aktiviti Karnival Barangan Malaysia 2023, orang ramai boleh melayari Facebook Kempen Beli Barangan Malaysia, Instagram @kempenbelibaranganmalaysia, X @KBBMKPDN, TikTok @kbbm_my dan YouTube @kempenbelibaranganmalaysia2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 2:59 PM