Mayat bayi perempuan ditemukan di tepi pantai Persiaran Bayan Indah, berhampiran pusat beli belah Queensbay, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Mayat bayi perempuan ditemukan di tepi pantai Persiaran Bayan Indah, berhampiran pusat beli belah Queensbay, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Orang awam yang beriadah di tepi pantai di Persiaran Bayan Indah, berhampiran pusat beli belah Queensbay di sini, gempar dengan penemuan mayat bayi perempuan, hari ini.

Bayi itu tidak berpakaian dan berada dalam keadaan sempurna.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan pada jam 5.55 petang.

"Mayat bayi perempuan itu disyaki dihanyutkan arus laut sebelum terdampar di tepi pantai.

"Bayi berkenaan sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berhampiran.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Video mengenai penemuan berkenaan turut tular di media sosial dan seorang lelaki mendakwa terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat bayi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 11:02 PM