PENGERUSI Badan Bertindak Kapar yang juga wakil penduduk, Rahim Iska (kanan, baju merah) bersama sebahagian penduduk menunjukkan kawasan tapak sampah haram itu. FOTO Ruwaida Md Zain
PENGERUSI Badan Bertindak Kapar yang juga wakil penduduk, Rahim Iska (kanan, baju merah) bersama sebahagian penduduk menunjukkan kawasan tapak sampah haram itu. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Klang: Lebih 300,000 penduduk membabitkan tujuh kampung di Batu 14, Kapar di sini, dibelenggu pencemaran asap akibat pembakaran sampah sisa domestik secara haram di lokasi berhampiran sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Tujuh kampung berkenaan termasuk Kampung Sungai Serdang, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Bukit Kapar.

Lebih membimbangkan, kampung-kampung berkenaan terletak di sekitar kawasan terbabit, malah ada kampung berada hanya kira-kira 200 meter dari lokasi pembakaran sampah haram terbabit.

Tinjauan Harian Metro mendapat, timbunan sampah di tapak pembuangan haram di tanah seluas kira-kira 1.2 hektar sudah kelihatan seperti beberapa buah bukit selain mengeluarkan bau busuk.

Pengerusi Badan Bertindak Kapar yang juga wakil penduduk, Rahim Iska mendakwa, isu berkenaan berlarutan sejak 10 tahun lalu namun semakin memburuk ketika pandemik bermula pada 2020.

"Hampir setiap hari, pihak tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran sampah, terutama pada waktu malam hingga ke awal pagi.

"Sampah dibakar bukan saja mengeluarkan asap malah berbau busuk hingga menyebabkan penduduk mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

"Keadaan ini pastinya membahayakan kesihatan, khasnya membabitkan kanak-kanak dan warga emas. Isu ini perlu diselesaikan segera," katanya ditemui di lokasi berkenaan, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama kira-kira 100 penduduk membuat bantahan aman dan menyerahkan memorandum isu itu kepada Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali.

Penduduk, Mohamad Mishan Md Nor, 61, berkata, bau sisa sampah terlalu kuat selain lokasi pembakaran dekat dengan kediaman penduduk Kampung Sungai Serdang.

Ia turut menyebabkan dia sukar bernafas.

"Bau busuk dan tengik seperti toksik itu mengakibatkan saya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital sebanyak tujuh kali.

"Saya mula alami masalah pernafasan sejak Jun 2021 dan kerap berulang-alik ke hospital akibat pencemaran bau ini," katanya.

Penduduk Kampung Tok Muda, Sharuddin Mohammad, 57, pula menggesa pihak berkuasa mengambil serius isu terbabit yang mengganggu kesihatan awam.

"Masalah ini sudah banyak kali diajukan kepada pihak berkaitan namun masih tiada jalan penyelesaian sehingga kini.

"Kami mahu isu ini segera diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkata, pihaknya menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas termasuk mewujudkan pasukan khas bagi menangani isu berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:11 PM