Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kira-kira 1,500 penduduk Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, trauma berikutan pencemaran sisa kimia yang berlaku, kelmarin.

Ia berikutan penduduk mengalami sesak nafas sehingga ramai yang muntah akibat terbau bau pencemaran yang disifatkan amat kuat dan busuk.

Penduduk Kampung Sungai Tiram, Kamsiah Basaruddin, 37, berkata penduduk mula menghidu bau kuat kira-kira 2 petang Isnin lalu.

Katanya, pada mulanya penduduk menganggap ia bau sampah yang dibakar.

"Namun kira-kira 2.30 petang, penduduk mendapat mesej daripada kumpulan WhatsApp guru yang meminta menjemput anak segera dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram berikutan pencemaran udara.

"Ia menyebabkan kami panik dan mula menutup tingkap rumah berikutan baunya makin kuat dan menyesakkan dada sebelum menjemput anak dari sekolah.

"Dalam kesibukan ibu bapa menjemput anak dari sekolah, saya terlihat jiran yang juga seorang ibu tiba-tiba sesak nafas sebelum muntah-muntah. Saya membantunya sebelum meminta pergi ke klinik jika masih sesak nafas.

"Penduduk terus menghidu bau busuk yang kuat sehingga malam menyebabkan sekolah terpaksa ditutup semalam. Hari ini, bau busuk itu tidak lagi kami hidu dan sekolah sudah dibuka," katanya ketila ditemui.

GAMBAR fail pasukan keselamatan membuat pemeriksaan bagi mengesan pencemaran sisa kimia di Sungai Tiram. FOTO Ihsan Bomba
GAMBAR fail pasukan keselamatan membuat pemeriksaan bagi mengesan pencemaran sisa kimia di Sungai Tiram. FOTO Ihsan Bomba

Semalam, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram, di sini, dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran, petang semalam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya serta sebuah jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Larkin dengan kekuatan keseluruhan seramai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Jabatan Alam Sekitar (Jas) yang dilaporkan membuat penilaian di lokasi iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, mendapati terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan' di kawasan itu.

Pasukan Unit Bahan Bahaya (Hazmat) dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tangki 'ibc' yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran, menyebabkan pencemaran sisa kimia di situ.

Seorang lagi penduduk, Roslan Ibrahim, 63, berkata penduduk kini trauma jika pencemaran sisa kimia itu berulang semula.

Katanya, insiden pencemaran kimia di Kampung Sungai Tiram itu adalah kali pertama berlaku sepanjang 40 tahun beliau menetap di situ.

"Kejadian pencemaran sebegini sehingga bau amat busuk dan tengik yang berlarutan lama dihidu penduduk tidak pernah berlaku di sini.

"Saya sendiri sakit tekak dan rasa mual ketika terhidu bau pencemaran itu sehingga terpaksa memakai pelitup muka namun bau itu masih kuat.

"Penduduk bimbang dan teringat insiden pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang yang menjejaskan ramai pelajar dan penduduk. Kami risau ia akan berulang," katanya.

Berita berkaitan

Tidak temui kesan pelepasan sisa di sekitar SK Sungai Tiram

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 12:06 PM