TEROWONG ECRL Kuantan
TEROWONG ECRL Kuantan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap pada Disember 2026 sudah mencapai kemajuan sebanyak 27.19 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, projek membabitkan empat negeri iaitu tiga di Pantai Timur dan Selangor itu berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kelewatan disebabkan masalah teknikal.

"Memang kita alami kelewatan tetapi dengan perkembangan sekarang kita boleh 'catch up' balik (dan) secara keseluruhannya ia boleh capai kemajuan lebih baik pada tahun ini.

"Insya-Allah, untuk jajaran Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor iaitu jajaran Seksyen A, B dan C1 akan siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada 1 Januari 2027," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Tanggungjawab Sosial Korporat) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu Bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kastam di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, di sini, hari ini.

Darwis berkata, kerja-kerja pengambilan tanah bagi projek ECRL di Terengganu dan Pahang juga berjalan lancar.

Katanya, ia sudah mencapai tahap 89 peratus dan pengambilan tanah dijangka selesai pada 2023.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (km) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadualkan siap pada Disember 2026.

Pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 4:19 PM