Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman menyampaikan ucapan pada Huawei Malaysia ICT Academy Summit 2023 di sebuah hotel, hari ini. FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman menyampaikan ucapan pada Huawei Malaysia ICT Academy Summit 2023 di sebuah hotel, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang dicadangkan penubuhannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan merintis pertumbuhan kecerdasan buatan di Malaysia, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman.

Beliau berkata fakulti itu yang akan ditubuhkan menerusi peruntukan RM20 juta daripada Belanjawan 2024 akan menjadi pusat perkongsian kepakaran dan pengetahuan oleh semua universiti awam dan swasta di dalam negara.

Azlinda berkata ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mencepatkan pertumbuhan AI sejajar dengan pergerakan digital sejagat.

"UTM akan bekerjasama dengan kedua-dua universiti awam dan swasta dan sesiapa (pemain industri) yang mempunyai kepakaran dalam AI akan bersama-sama untuk berkembang bagi memenuhi keperluan negara.

Kami mahu seseorang untuk menerajui dan kami lihat UTM ada kemampuan untuk menubuhkan sebuah Fakulti AI dalam masa sangat pantas," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sidang Kemuncak Akademi ICT Huawei Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Azlinda Fakulti AI itu adalah satu daripada kaedah dan pendekatan kementerian untuk berhubung dan bekerjasama dengan pemain industri selain universiti awam dan swasta untuk mengukuhkan lagi kedudukan sektor pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata semua universiti seharusnya berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik mereka sesama sendiri untuk meningkatkan kualiti sektor pendidikan.

"Contohnya macam AI tu tadi kedua-dua universiti swasta dan awam adalah penting kepada kementerian dan saya fikir universiti-universiti kena belajar daripada satu sama lain kerana masing-masing mempunyai kekuatan berbeza," katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai sidang kemuncak hari ini, Azlinda berkata Huawei menjalankan tugas dengan amat baik dalam membantu pendidik untuk belajar dengan lebih lanjut lagi mengenai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

"Jika pendidik kami mempunyai peralatan berkaitan selari dengan kemajuan teknologi maka mereka boleh mendedahkannya kepada pelajar, generasi muda dan itulah apa yang kami mahu, jika tidak kita akan kerugian dalam konteks perubahan teknologi untuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 9:13 PM