TINJAUAN kawasan bebas cukai Rantau Panjang mendapati, peniaga masih beroperasi seperti biasa susulan jalan utama masih boleh dilalui selain kesemua jalan termasuk jalan Pasir Mas- Rantau Panjang, Panglima Bayu- Rantau Panjang dan Tanah Merah-Pasir Mas masih bebas banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN kawasan bebas cukai Rantau Panjang mendapati, peniaga masih beroperasi seperti biasa susulan jalan utama masih boleh dilalui selain kesemua jalan termasuk jalan Pasir Mas- Rantau Panjang, Panglima Bayu- Rantau Panjang dan Tanah Merah-Pasir Mas masih bebas banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Operasi perniagaan di kawasan bebas cukai Rantau Panjang masih beroperasi seperti biasa susulan jalan utama masih boleh dilalui.

Tinjauan ke pekan berkenaan mendapati, peniaga masih menjalankan aktiviti seperti biasa selain kesemua jalan termasuk jalan Pasir Mas- Rantau Panjang, Panglima Bayu- Rantau Panjang dan Tanah Merah-Pasir Mas belum ditenggelami air.

Peniaga, Roslan Ahmad, 42, berkata dia dan rakan masih berniaga namun dalam keadaan berjaga-jaga terutama jika hujan masih turut dengan lebat memandangkan Sungai Golok sudah melepasi paras bahaya.

"Berdasarkan pengalaman orang tempatan di sini, biasanya pekan Rantau Panjang masih bebas banjir pada gelombang pertama yang mana sedang berlaku sekarang.

"Air Sungai Golok dilihat sudah banyak sejak dua hari lalu, tetapi belum melimpah tebing di sekitar kawasan pekan. Situasi berbeza akan terjadi jika hujan lebat tanpa henti dalam masa dua atau tiga hari, baru lah pekan juga turut terkesan.

"Saya berharap agar orang ramai tidak takut untuk datang berkunjung ke sini kerana banjir hanyalah di kawasan rendah yang majoritinya perkampungan tidak membabitkan jalan utama ke sini," katanya ketika ditemui di kedai pakaian miliknya di pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Menurut laman web, publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi aras bahaya dengan bacaan 9.10 meter, setakat jam 11.30 tengah hari, hari ini.

Sementara itu, Faziani Ab Rashid, 32, mengakui pelanggan agak berkurangan sepanjang musim tengkujuh mungkin kerana hujan yang membuatkan pengunjung memilih untuk berada di rumah sahaja.

"Kami biasanya akan mula mengemas kedai jika air di sudah melepasi tebing sungai, tetapi memandangkan situasi dilihat masih selamat kami berniaga sahaja seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:22 PM