SAPIAH mengemas dan memindahkan 500 botol budu tempayan kerana bimbang dihanyutkan air banjir di premisnya di Pantai Geting. FOTO Siti Rohana Idris
SAPIAH mengemas dan memindahkan 500 botol budu tempayan kerana bimbang dihanyutkan air banjir di premisnya di Pantai Geting. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Hujan sejak dua hari lalu mendorong pengusaha budu tempayan di Pantai Geting di sini, memindahkan semua produknya ke kawasan selamat kerana bimbang hanyut banjir.

Wan Sapiah Wan Yusoff, 45, berkata, sejak kelmarin dia mula mengemas dan meletakkan 500 botol budu jualannya ke ruang yang lebih tinggi.

"Biasanya apabila hujan berterusan, saya akan mula mengemas kerana pernah sebelum ini, ada botol budu yang hanyut, tak sempat diselamatkan kerana air naik cepat.

"Selain budu, saya juga bimbang peralatan lain rosak seperti peti sejuk beku," katanya yang sudah mengusahakan perniagaan budu tempayan dan perusahaan ikan masin, bekok serta bilis hampir 10 tahun.

Wan Sapiah berkata, premisnya yang terletak berhampiran pantai sentiasa berisiko menghadapi banjir dan limpahan air ketika fenomena air pasang besar.

Katanya, dia dibantu pekerjanya melakukan persediaan apabila menjelang musim tengkujuh, termasuk memindahkan lima peti sejuk ke tempat selamat.

Mengenai jualan ketika musim ini, Wan Sapiah tidak menafikan hasil jualan agak merosot walaupun masih menerima permintaan pelanggan.

"Permintaan untuk musim tengkujuh memang tinggi terutama ikan bekok serta ikan budu, namun pembeli berdepan kekangan untuk ke kedai kerana hujan dan laluan dinaiki air.

"Saya ada juga menghantar produk dengan lori, tapi hanya untuk pembelian borong ke Kuala Lumpur, Shah Alam, Kedah serta Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 2:30 PM