Siti Rohana Idris


Tumpat: Sekali pandang, kedai kecil di pinggir Pantai Geting di sini, seakan taman bunga namun rupanya terdapat ratusan botol budu tempayan yang dijual Wan Sapiah Wan Yusoff.

Ratusan botol budu dengan pelbagai saiz itu disusun di pelbagai ceruk dengan diselangselikan dengan pasu bunga termasuk beberapa tempayan besar sebagai tanda menu itu bukan budu yang dimasak.

Wan Sapiah, 43, berkata, budu tempayan ada peminatnya yang tersendiri meskipun tidak menafikan baunya agak sedikit hanyir berbanding budu yang dimasak tapi bauan itulah yang menjadikan budu tempayan digemari ramai.

"Selain warnanya, beza kedua-dua budu ini adalah dari segi rasa kerana ramuan berlainan iaitu budu tempayan hanya menggunakan ikan bilis dan garam sahaja manakala budu yang dimasak pula perlu ditambah gula melaka.

"Tempoh peraman budu tempayan adalah antara dua minggu hingga tujuh bulan namun di zaman sekarang kami tidak lagi menggunakan tempayan untuk peram sebaliknya tong atau botol plastik kerana bagi menjaga kebersihan," katanya ketika ditemui di premisnya di sini, semalam.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, budu tempayan akan mula dijual sebaik mencapai tempoh peramannya dua minggu kerana sudah ada yang gemar makan walaupun ikan bilis masih belum hancur.

Katanya, ada sesetengahnya menggelarkan budu tempayan sedemikian sebagai 'budu hidup' disebabkan masih kelihatan fizikal ikan bilis dan bau sedikit hanyir.

"Biasanya untuk budu tempayan sebegitu, ia lebih digemari warga emas dan cara makannya mereka akan mencampurkannya dalam masakan yang berkuah lemak kuning," katanya.

Wan Sapiah berkata, menjelang musim tengkujuh ini, stok pembuatan budu tempayan sudah dihentikan berikutan nelayan tidak dapat turun ke laut dan hanya menghabiskan bekalan yang sudah dihasilkan.

Katanya, Budu tempayan yang dihasilkannya itu dijual antara RM6 hingga RM16 bergantung kepada saiz botol dan selain daripada itu, dia juga menghasilkan pelbagai jenis ikan kering termasuk ikan budu yang sangat sinonim di musim tengkujuh.

"Disebabkan ramai pelanggan yang datang dari daerah lain termasuk luar Kelantan, saya mula membuka kedai makan di sebelah premis ini bagi memberi lebih keselesaan sambil mereka memilih barang jualan," katanya.

Seorang pelanggan, Noor Hasliza Mohd Noor, 37, sanggup datang dari Jelawat, Bachok semata-mata untuk membeli budu tempayan yang digemarinya berbanding budu yang dimasak.

Dia berkata, sudah tidak ramai yang menghasilkan budu tempayan sekarang mungkin kerana budu yang dimasak lebih komersil dan tidak perlu diperam dalam tempoh yang lama.

"Bagi saya, budu tempayan lebih sedap kerana rasanya yang unik disebabkan jangka masa peraman yang lama menyebabkan ramuannya sebati dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:36 PM
Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, di hadapan premisnya yang menghasilkan budu tempayan di Pantai Geting di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, di hadapan premisnya yang menghasilkan budu tempayan di Pantai Geting di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS