TAPAK projek Klinik Kesihatan Lubok Antu yang terbiar selepas pembinaan bermula pada tahun 2019. FOTO ihsan pembaca
TAPAK projek Klinik Kesihatan Lubok Antu yang terbiar selepas pembinaan bermula pada tahun 2019. FOTO ihsan pembaca
Mohd Roji Kawi


Sri Aman: "Jika dilihat pada tarikh siap pada papan tanda, penduduk Lubok Antu sepatutnya sudah menikmati kemudahan klinik kesihatan lebih selesa sekarang," kata seorang penduduk Lubok Antu yang hanya mahu dikenali sebagai Frankie.

Menurut Frankie, pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu dengan peruntukan sebanyak RM28 juta itu bermula pada 29 Oktober 2019 dan dijadual siap pada 28 Oktober 2021.

Namun, selepas dua tahun dari tarikh yang dijadual siap, klinik kesihatan itu kini belum kelihatan kecuali cerucuk.

"Tidak tahulah apa masalahnya menyebabkan projek itu mengalami masalah kerana selepas kerja tapak iaitu menanam cerucuk lebih setahun lalu, tiada lagi kerja dilakukan.

"Penduduk Lubok Antu tertanya-tanya apakah status projek itu, namun kami tidak tahu dengan pihak mana harus kami mendapatkan penjelasan," katanya, hari ini.

Frankie berkata, klinik sedia ada sekarang tidak mampu menampung orang ramai yang mendapatkan rawatan selain menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

"Berikutan keadaan klinik yang sempit, pihak klinik terpaksa menyediakan khemah dan apabila keadaan sesak, ramai yang terpaksa duduk menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di luar khemah," katanya.

Pada 29 Mac lalu, Dewan Rakyat diberitahu lima klinik kesihatan kini dalam proses pembinaan di Sarawak bagi memberi akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti pedalaman dan luar bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kelima-lima pembinaan klinik itu adalah di Lubok Antu, Julau, Serian, Lawas dan Daro, Sarawak.

Daerah Lubok Antu yang terletak berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia mempunyai populasi lebih 27,000 penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 10:53 AM