FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Fardy Bungga


JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan menerima satu notifikasi pesakit disyaki dijangkiti ​Japanese Encephalitis (JE) di Kampung Lubong, Tambunan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Fung Ming berkata, setakat ini JKNS masih menunggu keputusan ujian pengesahan daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Bagaimanapun katanya, susulan notifikasi itu, tindakan kawalan dilaksanakan segera seperti aktiviti pengesanan kes, semburan kabus dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk.

“JKNS juga mengambil inisiatif menjalankan kempen pendidikan kesihatan di lokaliti sekitar kediaman pesakit selain melancarkan usaha pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan ‘larvaciding’ meliputi 121 premis di Tambunan.

“Pendidikan kesihatan berkaitan penyakit JE juga sudah disampaikan kepada penduduk setempat sebagai langkah awal mencegah penyakit berjangkit,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Frankie berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah juga sudah dimaklumkan mengenai kes itu untuk tindakan termasuk melakukan pemeriksaan haiwan di kampung terjejas.

“JE disebabkan virus flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘​viral encephalitis​’. ​Khinzir dan burung liar adalah ‘​natural reservoir’ dan virus JE disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk ​Culex​.

“JE adalah endemik di kebanyakan negara di Asia seperti India, Thailand, Filipina, Cambodia, Vietnam termasuk Malaysia,” katanya yang memberitahu simptom JE adalah demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan.

Sehubungan itu, Frankie menasihati masyarakat setempat yang mengalami simptom supaya segera mendapatkan rawatan di hospital dan mengamalkan perlindungan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:41 AM