SIVAKUMAR ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
SIVAKUMAR ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 1,047 pemohon membuat permohonan mengikuti kursus berkaitan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk sesi tahun depan menggunakan sistem Unit Pengambilan TVET (UP_TVET).

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, penggunaan sistem UP_TVET bagi tujuan ujian rintis itu membabitkan penawaran 645 kursus pelbagai

bidang di peringkat sijil hingga diploma melalui 268 buah institusi TVET berkaitan.

"Sistem UP_TVET ini mula digunakan pada 31 Oktober lalu melalui ujian rintis bagi tujuan pengambilan pelajar bagi sesi Januari 2024.

"Sehingga 8 November lalu, seramai 2,398 pemohon mendaftarkan profil diri dalam sistem UP_TVET ini.

"Daripada jumlah itu, 1,047 pemohon sudah melengkapkan permohonan bagi tujuan proses pertimbangan dan penawaran (kursus)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai bilakah kerajaan akan melaksanakan UP_TVET sepertimana yang sedang dikaji Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, ujian rintis itu akan dibuka sehingga 30 November ini.

"Sistem UP_TVET ini akan digunakan institusi TVET merentasi pelbagai Kementerian untuk tujuan permohonan kemasukan ke program TVET jangka panjang dan jangka pendek yang dibuka sepanjang tahun.

"Sebagai permulaan, ujian rintis penggunaan sistem ini membabitkan empat institusi TVET iaitu Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) (Kementerian Belia dan Sukan) dan Giat MARA serta German-Malaysian Institute (GMI) (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah).

"Sistem ini juga akan mengambil kira pelbagai kelayakan masuk seperti lepasan Tingkatan 3, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)," katanya.

Katanya, penggunaan sistem itu sebagai penambah baikan amalan sedia ada iaitu permohonan kemasukan ke program TVET bagi ambilan perdana khusus untuk lepasan SPM dan setaraf disediakan melalui platform UPUOnline di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Permohonan menggunakan UPUOnline ini dibuka hanya untuk satu sesi pengambilan saja dalam setahun dan diguna pakai institusi TVET awam tertentu saja di bawah kendalian KPT, KSM, KBS, KKDW serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:25 PM