VIDEO tular mengatakan terdapat kereta yang digunakan untuk menculik kanak-kanak. FOTO Tular
VIDEO tular mengatakan terdapat kereta yang digunakan untuk menculik kanak-kanak. FOTO Tular
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Sepang: Bukan kes culik tetapi warga asing melarikan diri daripada pemeriksaan anggota polis.

Itu penjelasan pihak polis susulan satu video dikesan tular di media sosial memberi amaran kepada orang ramai berhubung kehadiran sebuah kereta jenis Honda yang didakwa berlegar-legar berhampiran kawasan sekolah untuk menculik kanak-kanak, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan jam 9.30 pagi berkaitan sebuah kenderaan mencurigakan di hadapan kedai dobi di sekitar Sungai

Pelek, di sini 31 Oktober lalu.

"Bertindak di atas maklumat anggota dari Balai Sungai Pelek ke lokasi untuk membuat pemeriksaan namun pemandu kereta berkenaan enggan memberi kerjasama.

"Suspek bertindak melanggar motosikal polis yang diparkir di tepi jalan lalu memecut laju meninggalkan lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, video kononnya mendakwa kenderaan milik penculik yang ditularkan itu sebenarnya memaparkan kes melarikan diri dari pemeriksaan polis dan bukan kejadian culik seperti didakwa.

Katanya, susulan itu polis berjaya menahan dua suspek lelaki warga asing dalam satu serbuan di sebuah hotel di Taman Semarak 1, Nilai, Negeri Sembilan, jam 1 petang, hari sama.

"Turut dirampas sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu dan Honda HRV berwarna merah yang dikaitkan dengan video tular berkenaan.

"Kedua-dua suspek didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala ujian air kencing mereka didapati positif methamphetamin," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 /427 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:02 PM