Nga Kor Ming (kiri) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada murid SJK (T) Sithambaram Pillay. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Nga Kor Ming (kiri) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada murid SJK (T) Sithambaram Pillay. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM3.4 juta kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata ia bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan menaiktaraf sistem perparitan kawasan perumahan di bandar itu sekali gus mengelakkan kejadian banjir kilat.

"Teluk Intan dah banjir 60 tahun. Langkah pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.

"Oleh itu saya sudah mengarahkan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menurunkan peruntukan sebanyak RM3.4 juta kepada MPTI untuk kerja-kerja pembersihan longkang, penaiktarafan sistem perparitan khusus di kawasan perumahan dengan kadar segera.

"MPTI bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak wajib bersiap-siaga supaya bandar ini bebas banjir," katanya selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada 50 orang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sithambaram Pillay, di sini, hari ini.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut memberi amaran kepada pihak kontraktor yang diberi tender agar tidak culas terhadap tugas.

"Teguran kepada kontraktor MPTI sekiranya gagal menyelia sistem perparitan, saya tak teragak-agak untuk tamatkan kontrak.

"Ahli-Ahli Majlis PBT perlu ambil perhatian perkara ini kerana peruntukkan sudah disalurkan. Saya akan mendengar taklimat daripada MPTI bagi memastikan peruntukkan ini dapat digunakan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 1:13 PM