AZRIN (kiri) bersama Ahmad Kamarunzama sesuatu kepada dua orang pemandu teksi haram atau ulat yang ditahan selepas sidang media berhubung Ops Ulat di KLIA, Sepang. FOTO Aizuddin Saad.
AZRIN (kiri) bersama Ahmad Kamarunzama sesuatu kepada dua orang pemandu teksi haram atau ulat yang ditahan selepas sidang media berhubung Ops Ulat di KLIA, Sepang. FOTO Aizuddin Saad.
Amir Abd Hamid


Sepang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sudah menahan seramai 139 individu yang menawarkan kereta sewa secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sejak Januari hingga hari ini, menerusi Operasi Ulat (Ops Ulat).

Pengarahnya Azrin Borhan berkata, kejayaan itu hasil penyamaran sebagai pelanggan di kedua-dua lapangan terbang utama negara itu.

"Kami mengesan 'ulat' itu menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan KLIA dan klia2 dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi berbanding teksi biasa atau Limo.

"Mereka yang ditahan didapati bergerak secara individu atau persendirian, tidak membabitkan sindiket.

"Caj yang dikenakan adalah secara rambang antara RM63 hingga RM300 ke Kuala Lumpur bergantung kepada jenis kenderaan," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ KLIA, Aras 3, KLIA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Kamarunzaman Mehat.

Azrin berkata, JPJ memandang serius kegiatan ulat yang bersifat pentingkan diri dan mengaut keuntungan secara haram itu.

"JPJ pasti bertindak tegas membendung kegiatan 'ulat' KLIA bagi membanteras gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara.

"Ini kerana ia mendatangkan implikasi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam di negara ini," katanya

Beliau berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 4:40 PM