BUMBUNG rumah penduduk di Kampung Pulau Machang yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut. FOTO Ihsan APM
BUMBUNG rumah penduduk di Kampung Pulau Machang yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Kira-kira 24 rumah di Mukim Ayer Putih, di sini, mengalami kerosakan pada bumbung akibat ribut yang melanda hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.30 petang di Taman Seri Delima, Jalan Jenun dan Kampung Pulau Machang, di sini.

Beliau berkata, kawasan yang terjejas teruk adalah di kawasan perumahan di Taman Seri Delima yang menyebabkan 23 rumah didiami 72 mangsa manakala di Kampung Pulau Machang pula membabitkan sebuah rumah yang didiami dua mangsa.

"Selain itu, pihak APM Pendang turut menerima panggilan berkaitan pokok tumbang yang menghalang laluan di Perumahan Keda Asam Jawa serta Klinik Kesihatan Pendang.

"Namun tiada kerosakan berlaku di situ dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yuslina berkata, ketika kejadian berlaku cuaca mendung dan hujan renyai malah tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu setakat ini.

"Tindakan anggota APM Pendang adalah membersihkan kawasan terjejas dan kerosakan akibat kejadian itu selain memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan.

"Pemantauan turut dilakukan dari semasa ke semasa dan penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan keadaan cuaca ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 11:39 PM