PANDAK (tengah) meninjau kediaman terjejas akibat ribut di Taman Sri Pulai. FOTO Ihsan Adun Kota Iskandar
PANDAK (tengah) meninjau kediaman terjejas akibat ribut di Taman Sri Pulai. FOTO Ihsan Adun Kota Iskandar
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sembilan keluarga di Taman Sri Pulai di sini, terpaksa meninggalkan kediaman mereka sementara waktu selepas ia rosak akibat ribut dan hujan lebat, petang tadi.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu membabitkan rumah teres kos rendah yang terletak di Jalan Batai 11 dan Jalan Batai 12.

Ketua Pemuda Umno Taman Sri Pulai, Muhammad Firdaus Jantan berkata, 30 penghuni terbabit terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan bayi baharu lahir.

"Hujan lebat berserta ribut kencang berlaku hampir dua jam dan sembilan rumah terjejas mengalami kerosakan agak teruk.

"Kebanyakan bumbung tercabut dan siling runtuh menyebabkan air hujan memasuki rumah, namun tiada penghuni yang dilaporkan cedera.

"Selepas hujan berhenti ada yang cuba mengemas kediaman mereka, namun ada juga yang terpaksa menyewa 'homestay' berdekatan dan ada yang pulang ke kampung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad turut turun padang meninjau lokasi kejadian, selain menyampaikan sumbangan peribadi kilat buat setiap keluarga terjejas.

Pandak berkata, beliau sudah menghubungi semua agensi terbabit bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Esok, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri akan turun padang membantu dalam kerja mengemas dan membaik pulih kediaman yang terjejas," katanya.

Dalam perkembangan lain, dua laporan banjir kilat diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Johor Bahru di Kampung Poh Chi Ling, Batu 10 dan Kampung Sepakat Baru dekat Skudai di sini, pada jam 7 petang dan 8 malam tadi.

Dalam kenyataan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Johor Bahru APM, kejadian berlaku akibat hujan lebat melebihi tempoh dua jam.

"Kita menerima panggilan daripada Penghulu Kampung kedua-dua kawasan berhubung banjir kilat yang berlaku dan tinjauan terus dilakukan di lokasi.

"Tiada keperluan untuk membuka PPS (pusat pemindahan sementara) dan cuaca juga kini dilaporkan tidak hujan serta air sudah surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 10:04 PM