GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes laporan palsu mengenai penemuan bayi dan penjualan bayi kepada pihak ketiga.

Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pada mulanya pihaknya menerima laporan dibuat pasangan suami isteri, mengenai penemuan seorang bayi perempuan berusia 14 hari dalam sebuah beg Selasa lalu.

Beliau berkata, pasangan suami isteri berusia berusia 40 dan 43 tahun tahun itu mendakwa menemukan bayi itu bersama nota tulisan tangan tercatat pengakuan penyerahan anak secara sukarela tanpa nama penulis dan sehelai borang kelahiran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu yang tidak lengkap.

"Siasatan dijalankan dan maklumat ibu bayi dikenal pasti. Tangkapan awal kedua ibu bapa bayi berusia 24 dan 26 tahun dibuat pada Rabu (kelmarin).

"Siasatan mendapati laporan awal yang dibuat oleh suami isteri itu palsu, hasil siasatan mendapati mereka mendapatkan bayi itu daripada orang tengah, dengan sejumlah bayaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Adli berkata, semakan mendapati, bayi itu dilahirkan di HSNZ pada 5 Oktober lalu.

"Disebabkan malu dan takut diketahui keluarga, kerana bayi dilahirkan dalam tempoh sebulan selepas berkahwin, ibu bapa bayi itu serahkan kepada pihak kedua untuk dijaga.

"Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah, polis juga sedang mengesan rakan suspek itu, bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Adli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

"Kelima-lima suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok. Permohonan melanjutkan tahanan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 10:45 PM