Moderator, Nurul Syhaida Ariffin, Pembicara, Tunku Zain Al Abidin, Duta Austria ke Malaysia, Andreas Launer, Daniel De Weldon dan Tunku Mohd Taufek Tungku Mansur pada bual bicara negarawan YTM Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman. FOTO ROHANIS SHUKRI
Moderator, Nurul Syhaida Ariffin, Pembicara, Tunku Zain Al Abidin, Duta Austria ke Malaysia, Andreas Launer, Daniel De Weldon dan Tunku Mohd Taufek Tungku Mansur pada bual bicara negarawan YTM Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman. FOTO ROHANIS SHUKRI
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Penganjuran Pameran Eksklusif Tugu Negara dibuat dalam usaha memperingati peranan dan sumbangan Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj kepada negara.

Pameran berkenaan dianjurkan Arkib Negara dengan kerjasama Kedutaan Austria dengan pemilihan Tugu Negara sebagai lokasi berikutan pereka arca Felix De Weldon adalah warga Austria.

Ia sekali gus sebagai penghormatan kepada hubungan diplomatik Malaysia-Austria yang terjalin selama 60 tahun.

Ketua Pengarah Arkib Negara Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, program itu diadakan bukan sahaja sebagai penghormatan diplomatik antara dua negara sejak 1962, tetapi juga memberi pendedahan kepada golongan muda.

"Program ini adalah untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda tentang sumbangan dan peranan Tunku Abdul Rahman kepada negara.

"Malah, program ini juga adalah satu wadah untuk menyebarkan infomasi berkaitan dengan kronologi pembinaan Tugu Negara bagi memperingati lebih 11,000 perajurit yang gugur semasa berjuang melawan pengganas komunis ketika mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Duta Besar Austria Andreas Launer merasmikan Pameran Eksklusif Tugu Negara dan Bicara Negarawan Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir, anak kepada Felix, Daniel de Weldon; anakanda Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Tunku Datuk Seri Ahmad Nerang Putra dan veteran Angkatan Tentera Malaysia.

Pameran Eksklusif Tugu Negara dibuka pada orang ramai bermula hari ini sehingga hujung tahun ini bertempat di Kompleks Arkib Perdana Menteri dan Arkib Negarawan.

Pembinaan Tugu Negara dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman diinspirasi daripada Memorial Iwo Jima bertempat di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:29 PM