SEPANG 27 FEBRUARI 2019. Pesawat komersial  melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika matahari terbenam dalam keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penggabungan antara Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai satu agensi tunggal perlu dilaksanakan untuk memudahkan pengawal seliaan sektor penerbangan negara.

Menteri Pengangkutan Malaysia (MOT), Anthony Loke berkata, hanya satu badan kawal selia penerbangan akan diwujudkan iaitu gabungan Mavcom dan CAAM.

Katanya, langkah penggabungan itu dalam proses dan dijangka dibawa ke parlimen menjelang awal tahun depan.

"Rang undang-undang untuk memansuhkan Akta Mavcom 2015 (Akta 771) dan meminda Akta CAAM 2017 akan dibawa ke Parlimen pada sesi pertama persidangan tahun depan.

"Saya rasa kita tidak boleh buat tahun ini kerana jadual Parlimen agak penuh. Kita hanya ada beberapa hari untuk rang undang-undang selepas bajet," katanya kepada media di majlis memeterai perjanjian perkongsian kod antara Batik Air dan Emirates di sini, hari ini.

ANTHONY (tengah) pada majlis memeterai perjanjian perkongsian kod antara Batik Air dan Emirates bersama Presiden Kanan Emirates, Operasi Komersial (Timur Jauh), Orhan Abbas (dua kiri) dan Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy (dua kanan). FOTO Asyraf Hamzah

Penggabungan antara Mavcom dan CAAM diumumkan oleh Loke pada 2019.

Pada masa ini, Malaysia adalah satu daripada beberapa negara yang mempunyai dua pengawal selia penerbangan iaitu Mavcom dan CAAM.

Mavcom menyelia bahagian kewangan, komersial dan ekonomi syarikat penerbangan manakala CAAM melihat aspek teknikal.

Pengendali udara komersial berjadual yang berpangkalan di Malaysia dikehendaki memiliki kedua-dua lesen perkhidmatan udara (ASL) dan sijil pengendali udara (AOC).

ASL dikeluarkan oleh Mavcom dan AOC diberikan oleh CAAM.

Ketika ditanya sama ada terdapat kesilapan dalam pendaftaran MYAirline Sdn Bhd kerana mempunyai dua pengawal selia penerbangan, Loke berkata ia terpulang kepada tafsiran sesiapa sahaja.

"Pemberian lesen kepada MYAirline pada 2022 dan ketika itu saya belum dilantik sebagai Menteri, saya tidak bertanggungjawab ketika itu.

"Namun, apa yang terjadi di Malaysia terdapat dua badan pengawal selia penerbangan dan saya sejak 2019 memang saya jelas dengan langkah menggabungkan Macvom dan CAAM kepada satu badan pengawal selia membabitkan bidang teknikal dan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:55 PM