MAVCOM mencapai banyak hasil positif dalam meningkatkan sektor penerbangan di Malaysia sejak penubuhannya.
MAVCOM mencapai banyak hasil positif dalam meningkatkan sektor penerbangan di Malaysia sejak penubuhannya.
Oleh Nabil Basaruddin


PENGGABUNGAN Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bukan pilihan yang paling berkesan dalam menangani isu penarafan keselamatan udara Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

Naib Presiden Serantau Asia Pasifik Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Conrad Clifford dalam suratnya kepada Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke berkata, perubahan dalam struktur dan proses Mavcom boleh memberi impak negatif terhadap prestasi masa depannya yang tidak akan memberi kesan lebih baik kepada sektor penerbangan di Malaysia.

Beliau turut menggesa MOT dan Kabinet mempertimbang semula keputusan untuk membubarkan Mavcom dan sekiranya kerajaan Malaysia tetap memutuskan usaha penggabungan itu, kebebasan peraturan ekonomi dalam CAAM perlu dipastikan.

“Sebagai contoh, menerusi usaha dalam menyesuaikan strukturnya, objektif dan kuasa CAAM perlu diiktiraf seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam United Kingdom.

“Kami juga mengambil maklum bahawa akan ada pasukan petugas yang berperanan meneliti syarat penggabungan serta bersedia untuk membantu dan menyokong pasukan petugas berkenaan,” katanya dalam surat bertarikh 20 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Clifford berkata, sejak penubuhan Mavcom pada 2016, suruhanjaya itu mencapai banyak hasil yang positif dalam meningkatkan sektor penerbangan di Malaysia.

Menurutnya, status Mavcom sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial yang bebas memainkan peranan penting bagi memastikan segala usaha untuk meraih pencapaian itu.

“Usaha ini termasuk penubuhan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia pada 2016 yang turut disemak semula pada tahun ini, yang menyediakan rangka kerja yang jelas mengenai hak penumpang udara di Malaysia.

“Malah, selama ini juga Mavcom membangun serta menjalankan perundingan dengan pihak berkepentingan termasuk IATA mengenai rangka kerja peraturan ekonomi tarif oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang semakin hampir dimuktamadkan,” katanya.

Katanya, penting untuk mempunyai pengawal selia ekonomi bebas untuk industri penerbangan kerana ia dapat menggalakkan amalan terbaik dan membantu kepimpinan serta bebas daripada sebarang kepentingan konflik.

“Dengan adanya Mavcom, Malaysia dapat berada bersama negara seperti India, Australia, New Zealand, Ireland, Afrika Selatan, Itali dan Perancis dalam memastikan pertumbuhan industri penerbangan melalui pengatur ekonomi bebas,” katanya.

IATA adalah persatuan dagangan global bagi syarikat penerbangan yang mewakili lebih 290 ahli yang merangkumi 82 peratus daripada jumlah trafik udara dunia.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 10:40 AM