Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pengumpul besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan pindaan membunuh seorang pengawal keselamatan lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap R Saravanan, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap kes pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Tertuduh kelihatan tenang sewaktu hukuman itu dijatuhkan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, lelaki itu didakwa membunuh K Gobinathan, 44, di Restoran Nashmeer di Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu , Chemor, di sini antara jam 12 tengahari hingga 1 petang pada 5 Julai 2015.

Bagi perbuataan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili peguam bela, T Vijayandran.

Sebanyak tujuh saksi pendakwaan serta lima saksi pembelaan hadir sepanjang perbicaraan berlangsung.

R SARAVANAN dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah atas pertuduhan pindaan membunuh seorang pengawal keselamatan lapan tahun lalu.  FOTO L Manimaran
R SARAVANAN dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah atas pertuduhan pindaan membunuh seorang pengawal keselamatan lapan tahun lalu. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 12:11 PM