GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan FB Berita Tentera Darat
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan FB Berita Tentera Darat
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Menempuh perjalanan sehingga 15 kilometer (km) sambil memikul beban mencecah 25 kilogram (kg) antara cabaran biasa yang perlu ditempuh semasa menjalani ujian jalan laju (UJL).

Ujian itu adalah antara beberapa latihan fizikal yang perlu dilalui setiap anggota dan pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) secara berkala bagi memastikan diri mereka siap untuk mempertahankan negara pada bila-bila masa.

Menurut seorang bekas pegawai TDM yang enggan dikenali, latihan itu adalah latihan standard bagi setiap anggota dan pegawai infantri sebagai simulasi keadaan perlu ditempuh dalam suasana peperangan sebenar.

"Pegawai tempur mesti fit (cergas) kerana kita hendak pergi bertempur di medan perang jadi ujian kecergasan jasmani seperti ini adalah perkara biasa.

"Bagaimanapun, bagi UJL akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula lima km, lapan km, 12 km, dan seterusnya bersama kelengkapan penuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu Harian Metro melaporkan seorang Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Johor dipercayai mengalami simptom strok haba.

Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bharu, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut katanya, latihan itu akan diteruskan tidak kira keadaan cuaca kerana dalam perang pihak musuh tidak akan memberi ruang walaupun sedikit.

Dia yang berkhidmat lebih tiga dekad bersama TDM berpendapat, pelbagai faktor memainkan peranan sehingga terjadinya insiden itu.

"Saya tak mahu komen punca kejadian kerana boleh jadi pelbagai faktor antaranya pemakanan, tahap kesihatan, aktiviti dilakukan sebelum latihan dan sebagainya, biar pihak bertanggung jawab siasat.

"Cuma pada pendapat saya latihan tiada apa yang pelik pada latihan UJL ini kerana kita kena ingat mereka berlatih untuk berperang.

"Memang cuaca panas, tetapi kalau kita berperang sejuk ke? Jadi kita kena berlatih untuk hadapi semua itu, biar mandi peluh ketika aman jangan mandi darah ketika perang," katanya.

Berita berkaitan:

Emil sepatutnya berkahwin tahun depan

Strok haba: Sembilan lagi pegawai muda stabil

Leftenan Muda Emil Syahid maut dipercayai akibat strok haba

10 peserta kursus tempur di Kem Pulada alami simptom strok haba

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 6:48 PM