NAZIFUDDIN (kiri) dan Najib. FOTO Bernama
NAZIFUDDIN (kiri) dan Najib. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin dan memerintahkan dua beranak itu membayar lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai bagi 2011 dan 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh lima panel Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan Mohd Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai itu.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam kes ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu dan Mohd Nazifuddin sementara Ketua Peguam Cara Hasil Dr Hazlina Hussain bagi pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku responden.

Bagaimanapun dua beranak itu tidak hadir ketika prosiding berlangsung.

Najib dan Mohd Nazifuddin merayu selepas dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib serta RM37.6 juta daripada Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Pada 10 Mei 2022, mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan sembilan persoalan undang-undang.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin Umno itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib ini belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 11:04 AM