MUHAMMAD Adib Danial menunjukkan gambar arwah Syed Ahmad Hafiy. FOTO Azrul Edham
MUHAMMAD Adib Danial menunjukkan gambar arwah Syed Ahmad Hafiy. FOTO Azrul Edham
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Selalunya arwah pendiam dan jarang bercakap tanpa sebab, tetapi sehari sebelum kemalangan arwah agak ceria, rupa-rupanya itu petanda dia akan pergi."

Itu reaksi Muhammad Adib Danial Mohd Zamrin, 20, mengenai pemergian rakan serumahnya, Syed Ahmad Hafiy Syed Hassan, 20, yang maut dalam kemalangan di berhampiran pintu gerbang Port Dickson di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, kereta Perodua Kancil dinaiki arwah bersama empat rakan sepengajian jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik Komunikasi di Politeknik Port Dickson, bertembung dengan motosikal SYM.

Empat lagi rakan arwah, Muhammad Firdaus Mohamad Faizal, Muhamad Akmal Mohd Asri, Muhammad Hazim Hashim dan Wan Muhammad Haziq Aiman Wan Jaafar, masing-masing berusia 20 tahun, selamat.

Muhammad Adib Danial berkata, ketika kejadian arwah bersama rakannya itu dalam perjalanan dari Seremban untuk pulang ke rumah sewa mereka di Taman Marlin yang terletak bersebelahan dengan Politeknik Port Dickson.

"Pagi tadi jam sekitar 7 pagi, saya diberitahu mereka kemalangan namun pada awalnya hanya menyangka kemalangan biasa dan bergegas ke hospital.

"Sebaik tiba di wad kecemasan, saya terkejut apabila diberitahu yang Syed Ahmad Hafiy sudah pun meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Port Dickson di sini, hari ini.

Muhammad Adib Danial mengakui tidak menyangka perubahan sikap ditunjukkan arwah yang berubah agak ceria sebelum itu petanda pemergiannya.

"Kami tengok dia (arwah) banyak ketawa, sedangkan sebelum ini dia agak serius. Rupa-rupanya itu petanda dia akan tinggalkan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 5:29 PM