KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.

Manjung: “Malam sebelum kejadian (Jumaat), arwah memeluk adik bongsunya berusia tiga tahun dan meminta adiknya tidur bersamanya, namun adiknya itu tidak mahu. Rupa-rupanya sikap penyayang yang ditunjukkannya adalah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Harisah Jaafar, 45.

Harisah adalah ibu kepada Muhamad Aminurasid Norzamri, 25, yang maut dalam kemalangan selepas kereta jenis Proton Saga BLM dipandunya bertembung dengan treler membawa muatan tong gas di Batu 5, Segari, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, Aminurasid yang dalam perjalanan dari rumah di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, di sini, ke tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Harisah berkata, selain berkelakuan penyayang terhadap adiknya itu, arwah turut menyuarakan hasrat berkahwin dan sudah menghadiri kursus perkahwinan tahun lalu.

“Saya tidak menyangka sikap arwah yang menjadi seorang penyayang serta menyuarakan hasrat berkahwin adalah petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya.

“Arwah menyatakan hasrat untuk berkahwin dan meminta kami meminang rakan wanita pilihannya itu selepas Aidilfitri tahun ini, namun hajatnya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung, di sini, semalam.

Menurut Harisah, walaupun sedih dengan pemergian anaknya itu yang menjadi harapan keluarga, dia tetap reda dengan kejadian itu kerana menganggap ia takdir Allah SWT.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kereta Proton Saga BLM dipandu mangsa dari arah Segari menghala ke Seri Manjung dipercayai memotong sebuah kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, ia menyebabkan kereta dipandu mangsa itu bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan tong gas dari arah Seri Manjung kira-kira jam 7.25 pagi semalam.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat, manakala pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:33 AM