Model kapal LCS. FOTO Arkib NSTP.
Model kapal LCS. FOTO Arkib NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mantan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar kesal apabila tegurannya mengenai tatacara perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak diendahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Naval Shipyard (BNS).

Memetik kenyataan, Abdul Aziz yang ketika itu memegang jawatan sebagai Panglima TLDM mengemukakan sekurang-kurangnya 10 surat teguran dan rasa tidak puas hati serta pendirian TLDM berhubung isu berkenaan.

Surat rasmi berkenaan diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri yang memegang jawatan pada ketika itu.

"Jadi surat-surat itu telah pun diarkibkan untuk memastikan ia tersedia untuk rujukan dan saya tidak akan dipersalahkan atas kegagalan menjalankan tugas sebagai Panglima Tentera Laut.

"Kerana daripada awal lagi saya telah menegur tatacara perolehan. Daripada awal lagi. Saya telah menegur tatacara perolehan, saya kata something is gravely wrong (sesuatu yang salah).

"Jadi, saya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan ini di luar tapi ini adalah peluang terbaik saya untuk memaklumkan bahawa saya sudah merekodkan kekecewaan terbesar kepada semua orang yang sepatutnya mendengar apa diperkatakan," katanya menerusi jawapan yang dikongsikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Laporan PAC mengenai perolehan LCS mendedahkan reka bentuk asal kapal tempur jenis SIGMA yang dipersetujui oleh Menteri Pertahanan pada Mei 2011.

Namun keputusan berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND atas cadangan syarikat BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

PAC juga mendapati terma kontrak projek itu lemah dan tidak memihak kepada kerajaan, sehingga bayaran kemajuan melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus.

Selain itu, Abdul Aziz turut memberikan analogi kepincangan projek LCS dengan menggambarkan keadaan pada ketika itu sesuatu yang pelik kerana perolehan dilakukan oleh kerajaan bagi TLDM sebagai pengguna tetapi kuasa sepenuhnya diberikan kepada BNS.

Tambahnya, BNS mengeluarkan kenyataan menyatakan semua pilihan TLDM adalah tertakluk kepada penilaian serta verifikasi mereka.

Semalam, Pengerusi PAC Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Ia adalah antara sembilan rumusan yang diperolehi PAC menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus.

"Kerajaan membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima kapal LCS harus disiap dan diserahkan," katanya.

Beliau dilaporkan berkata, PAC juga mendapati pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek itu.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum laporan itu dan memberi kerjasama penuh ketika menghadiri prosiding serta proses siasatan yang dilakukan PAC.

Katanya, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan dan ini bermakna pihak yang terbabit salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu saja.

Katanya, PAC mengesyorkan SPRM mempercepatkan siasatan dan menyegerakan pendakwaan.

Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS.

Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 4:58 PM